Warga kota yang merancang untuk memasuki pusat bandaraya Kuala Lumpur pada hujung minggu ini dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal berikutan penutupan beberapa jalan utama sempena penganjuran acara Larian Pos Malaysia 2026.
Acara larian yang bertempat di Jalan Raja, Dataran Merdeka sebagai lokasi pelepasan dan penamat itu akan berlangsung pada hari Ahad, 29 November 2026.
Menerusi lawan sesawang KLCCC, penutupan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula seawal petang Sabtu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja persiapan teknikal serta kelancaran peserta larian.
Penutupan Penuh Jalan Raja
Bagi tujuan pemasangan dan pengalihan kelengkapan acara (bump-in dan bump-out), Jalan Raja akan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula Sabtu, 28 November 2026 pada jam 5.00 petang sehingga Ahad, 29 November 2026 pada jam 8.00 malam.
Senarai Laluan Terlibat Pada 29 November 2026 (Ahad)
Untuk memudahkan pengguna jalan raya, berikut merupakan perincian laluan yang akan terjejas mengikut kategori larian dan waktu pelepasan masing-masing:
Kategori Half Marathon (21km) | 3.00 Pagi – 7.00 Pagi
Laluan yang terlibat merangkumi Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak, Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Dato’ Onn, dan Bulatan Dato’ Onn.
Kategori 10km | 5.00 Pagi – 7.00 Pagi
Laluan yang terjejas melibatkan Jalan Tun Perak, Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Putra, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato’ Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kinabalu, dan Jalan Sultan Hishamuddin.
Kategori Fun Run (5km) | 6.30 Pagi – 8.00 Pagi
Laluan yang terlibat adalah di sekitar Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Tun Sambathan, serta kawasan berhampiran Pos Malaysia Dayabumi.
Kategori OKU (2km) | 7.00 Pagi – 7.30 Pagi
Hanya melibatkan laluan di sepanjang Jalan Tun Perak.
— KLCCC DBKL (@KLCCC_DBKL) November 23, 2026
Orang ramai disarankan untuk menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, atau Monorel bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas di lokasi.