Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menahan cubaan 15 warga Bangladesh yang cuba masuk ke Malaysia dengan menyamar sebagai pemain kriket.

Kumpulan itu ditahan dalam satu pemeriksaan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Memetik kenyataan rasmi, kumpulan tersebut cuba mengaburi pegawai AKPS dengan berpakaian seragam sukan kriket dan mengemukakan surat penganjuran.

“Bagaimanapun hasil siasatan mendapati surat yang kononnya dikeluarkan oleh Persatuan Kriket Pulau Pinang adalah palsu.

“Tiada sebarang kejohanan kriket dijadualkan berlangsung dari 21 Mac hingga 23 Mac 2025 seperti tercatat (dalam surat berkenaan),” kata AKPS.

15 Warga Bangladesh 'Kantoi' Menyamar Atlet Kriket Untuk Masuk Malaysia
Sumber Gambar: Facebook AKPS

Kemudian kumpulan Bangladesh itu cuba mendapatkan penjamin daripada pihak penaja.

Bagaimanapun individu yang hadir itu mengaku tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kejohanan sukan tersebut dan datang sebagai wakil syarikat sahaja.

Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati kumpulan warga Bangladesh terbabit tidak mempunyai bukti kukuh sebagai pemain kriket.

“Berkemungkinan mereka adalah sebahagian dari sindiket yang cuba menyamar sebagai pemain kriket untuk masuk ke Malaysia atas tujuan lain.

“Pihak AKPS memutuskan agar kumpulan ini tidak dibenarkan mendarat (NTL) dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peraturan imigresen yang berkuatkuasa,” kata badan itu lagi.

Bagi memastikan keselamatan dan integriti sistem imigresen negara terus terpelihara, pihak AKPS memberi amaran tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu atau sindiket yang cuba menyalahgunakan visa sukan untuk tujuan berbeza seperti bekerja tidak sah atau pemerdagangan manusia.

Sumber