Selalunya bila kita masuk pesawat dari pintu hadapan, kita rasa nak belok kiri kan? Tapi kecewanya, kita tetap terpaksa belok kanan masuk kelas ekonomi.
Banyak kali kita dah dengar pasal bagaimana nak masuk kelas bisnes atau kelas pertama secara free sebagai penumpang yang bayar kelas ekonomi. Antaranya pakai baju mewah. Tu dia baq ang!
Sebagai backpacker yang dapat upgrade kepada first/business class walaupun bayar ekonomi banyak kali, saya akan kongsi sedikit cara-cara untuk MEMPERBAIKI PELUANG anda upgrade ke first/business class. (Kalau betul-betul nak sangat, bayar ah!)
1. TERBANG BERSAMA RAKAN FREQUENT FLYER YANG ADA PROGRAM KESETIAAN BERIBU-RIBU POIN
Ini cara yang selalu saya dapat. Dulu masa belajar, naik MAS dari Stockholm ke Kuala Lumpur naik kelas bisnes, tak perlu bayar apa-apa. Saya hanya terbang bersama mak yang ada kad Enrich yang banyak poin.
Samalah tahun lepas, terbang ke Argentina naik Qatar Airways kelas bisnes dan masuk airport lounge. Terbang bersama kawan yang ada banyak poin. Bayar kelas ekonomi saja. Malaysia Airlines dan Qatar Airways ada program kesetiaan yang sama iaitu OneWorld.
2. MENJADI AHLI PROGRAM KESETIAAN YANG ADA BANYAK MATA GANJARAN
Kalau nak ada peluang upgrade kelas bisnes/pertama, jadilah ahli program kesetiaan penerbangan tersebut atau rakan-rakannya seperti Oneworld. Semasa saya naik Finn Air, penerbangan dikatakan penuh dan overbooked.
Mereka mahu bagi saya wang pampasan kalau sanggup ambil penerbangan seterusnya. Tapi saya tak sanggup. Jadi mereka bagitahu disebabkan saya ada Oneworld, saya dapat upgrade kelas pertama.
3. AHLI KESETIAAN ONEWORLD
Saya dah naik banyak jenis penerbangan. Saya mempunyai keahlian Oneworld, Star Alliance dan Sky Team. Saya dapati ONEWORLD lebih besar peluang untuk upgrade berbanding SKYTEAM dan STAR ALLIANCE. Mereka agak kedekut.
Pernah naik KLM (SKYTEAM) masa birthday saya, cubalah jugak minta upgrade. Walaupun penerbangan penuh, tetap tak dapat, walaupun saya ada program kesetiaannya. Dia mintak bayar €270 untuk upgrade kepada “economy comfort” satu sektor sahaja. Kuanghajo.
4. PENERBANGAN PENUH ATAU OVERBOOKED
Biasanya penerbangan penuh dan overbooked ini ada peluang untuk upgrade, lagi-lagi kalau ada program kesetiaan. Lihat poin 2.
Kalau dia nak minta kau ambil penerbangan seterusnya, letakkan syarat “saya nak elaun wang tunai dan terbang kelas bisnes saja”. Atas budi bicara, mereka boleh bagi apa yang dipinta.
5. CHECK-IN PALING AWAL, JANGAN CHECK-IN ONLINE KALAU BELI KELAS EKONOMI.
Ini amat membantu kalau penerbangan penuh. Sekiranya penuh, krew penerbangan sudah sedia maklum. Siapa yang check in online bila beli kelas ekonomi, tentunya hanya akan dapat kelas ekonomi saja dalam boarding pass.
Tapi peluang ini bertambah jika anda check in PALING AWAL di mana syarikat sudah pun susun penumpangnya dan anda boleh minta upgrade pada kelas bisnes/pertama secara percuma.
6. CHECK-IN PALING LAMBAT, JANGAN CHECK-IN ONLINE
Atau check-in PALING LAMBAT pun boleh juga sekiranya semua tempat duduk di kelas ekonomi sudah penuh, tinggal kelas bisnes/pertama sahaja.
Cuma risiko check-in lambat ini, kalau betul penuh dan overbooked, mungkin anda kena naik penerbangan seterusnya (boleh minta upgrade), atau dapat tempat duduk yang paling tak seronok (aisle seat paling belakang sebelah jamban).
7. TERBANG SOLO
Terbang solo atau berdua lebih senang upgrade berbanding dalam kumpulan. Tempat duduk di kelas bisnes/pertama bukan banyak mana. Lagi senang mereka upgrade mereka yang solo daripada empat orang sekaligus.
8. JANGAN AMBIL TRAVEL AGENT
Tempahan tiket melalui travel agent ada kod-kod tertentu. Kod ini memustahilkan peluang anda untuk dapat upgrade percuma ke kelas pertama/bisnes, melainkan anda bayar untuk upgrade.
Tempah melalui travel agent biasanya dalam kumpulan, jadi susah mahu upgrade percuma nanti penumpang lain pun minta juga. Tempahan melalui travel agent memustahilkan anda dapat mata ganjaran bagi program kesetiaan penerbangan tersebut. Yang dapatnya mungkin travel agent itu sendiri.
9. SEMAK KERUSI, KALAU ADA KOMPLEN BOLEH MINTA UPGRADE
Saya pernah dapat tempat duduk yang dulang makanan (tray table) dan kerusinya bergoyang masa naik S7 airlines ketika belajar di Russia dahulu. Dia upgrade ke kelas bisnes.
S7 ada program kesetiaan OneWorld. Tapi janganlah merosakkan tempat duduk hanya semata-mata nak upgrade. Semak saja tray, recliner, aircond, entertainment system dan sebagainya.
Saya pernah dapat tempat duduk AirAsia kerusi bergoyang teruk sampai orang belakang pun komplen. Hampeh krew buat dek je.
10. KALAU TERDUDUK SEBELAH BAYI
Tak pernah cuba ini sebab jarang duduk sebelah bayi. Tapi ramai orang kata, kalau tak tahan dengar bayi menangis, boleh minta upgrade atau tukar tempat.
11. BAGI TEMPAT DUDUK PADA ORANG LAIN, WALAUPUN DAH CHECK-IN ONLINE
Cara ini memerlukan anda jadi hero atau budak baik. Kadang-kadang ada keluarga yang terpisah tempat duduknya. Dia nak duduk dekat sebelah mak, sebelah bapak, sebelah isteri, sebelah anak semua.
Anda boleh jadi hero, bagi seat pada mereka. Bagitahu krew, “saya memang mahu tempat duduk ini, malah saya dah bayar atau check-in online juga untuk tempat duduk ni. Tapi keluarga ni nak duduk bersama-sama. Camana?” Ada peluang dapat upgrade.
12. MINTAK SAMBIL BERPAKAIAN KEMAS
Mintak upgrade je. Orang yang minta mungkin ada 5% peluang untuk upgrade berbanding mereka yang tak minta langsung.
Tapi depa pun ada standard juga, bukanlah nak kena pakai kot, tali leher, kasut kulit begitu, cuma janganlah pakai baju selekeh sangat. Asalkan kemas.
13. PERGERAKAN TERHAD
Terutama mereka yang patah tangan atau patah kaki, ada peluang menagih simpati. Bukan kewajipan mereka untuk upgrade, tapi ada peluang. Pergerakan terhad memerlukan ruang yang lebih besar, jadi minta saja. Janganlah pula sengaja patahkan tangan atau kaki pula!
14. TERBANG SEMASA TIDAK SIBUK
Jangan ingat kau sorang saja yang mintak upgrade. Orang lain pun minta juga. Jadi terbanglah hari selasa, rabu, khamis, atau waktu tengahari di mana penerbangan tidaklah terlampau penuh. Elakkan hujung minggu, ramai orang minta upgrade tu.
15. TERBANG UNTUK BISNES
Mereka yang terbang untuk bisnes selalunya akan lebih banyak peluang untuk dapat upgrade berbanding mereka yang pergi bercuti semata-mata. Pakaian lebih bisnes, dan biasanya mereka ada kad program kesetiaan penerbangan tersebut.
16. ELAKKAN TERBANG LALUAN BISNES ATAU LALUAN YANG SIBUK
Nak terbang ke London upgrade ke kelas bisnes percuma? Harapan tipis dik oi. Ramai penumpang lain pun nak upgrade percuma juga. Peluang nak upgrade percuma lebih cerah kalau kau terbang ke Zanzibar atau Windhoek atau Havana banana.
17. ADA PANGKAT ADA NAMA
Masa dalam KLM haritu saya pernah tolong tengokkan dan rawat penumpang kecil yang demam dalam pesawat. (Saya seorang saja doktor dalam pesawat masa tu).
Kemudian selang beberapa hari lepas naik KLM, depa bagi baucar €100. Bukanlah upgrade sangat, tapi baucar tu boleh bayar untuk upgrade. Tapi saya gunakan baucar itu untuk beli tiket diskaun ke Peru.
Ada pangkat ada nama bukanlah mewajibkan mereka upgrade, tapi apa yang anda sumbangkan dengan pangkat dan nama itu yang mereka mahu. KLM tak kisah pun siapa ada Datuk atau Datin.
18. CARA BERBAYAR DENGAN DISKAUN
Cara berbayar ini pasti boleh dapat upgrade ke kelas bisnes/pertama. Kena buka email promosi kelas bisnes mereka. Biasanya 50% lebih murah daripada harga tiket kelas bisnes/pertama.
Kadang-kadang mereka letak bidaan untuk kelas bisnes, maka perlu bayar juga. Cuma kalau boleh, kita orang Malaysia ni tak mahu bayar lebih dan mahu dapat percuma saja kan?
Sebenarnya kalau teringin naik kelas pertama/bisnes, bayar saja. Cumanya kalau selalu terbang, pastinya akan dapat peluang upgrade sekali sekala secara percuma. Kena pandai cari peluang.
Cerita sikit kalau anda pernah dapat upgrade percuma.
Baca lagi: Ini Yang Terjadi Bila Budak Kampung Seperti Saya Pertama Kali Naik ‘Business Class’ Emirates