Ekonomi dunia kini berada di ambang goyah dan tidak dapat dielakkan, menurut amaran terbaharu dari tokoh terkenal Amerika Syarikat, Profesor Steve Hanke.
Dalam satu wawancara, Profesor Hanke – yang juga pensyarah di Johns Hopkins University – memberi gambaran jelas bahawa gelombang kemerosotan dijangka menghentam dunia pada separuh kedua tahun 2025.
Menurut Hanke, petanda awal sudah mula kelihatan melalui penurunan mendadak jumlah wang beredar dalam ekonomi.
Beliau menyifatkan fenomena ini sebagai “kereta lambat yang pasti tiba pada tujuannya”.
Maksudnya, kesan kepada ekonomi mungkin tidak berlaku serta-merta, tetapi lambat-laun ia akan dirasai.
“Bila wang beredar semakin mengecil, aktiviti ekonomi akan terjejas, dan kita akan lihat kelembapan dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Apa yang lebih membimbangkan, tambah beliau, ialah ramai pakar ekonomi hari ini tidak mengambil kira faktor jumlah wang beredar dalam analisis mereka, sekali gus membuatkan risiko kemerosotan dipandang ringan.
Tanda Awal Ekonomi Merosot
Hanke turut menegaskan bahawa beberapa indikator sudah menunjukkan tanda-tanda awal kelembapan.
Salah satu yang paling ketara ialah kesukaran graduan universiti mendapatkan pekerjaan.
Dalam suasana penuh ketidaktentuan, syarikat dilihat lebih berhati-hati untuk mengambil pekerja baharu, terutama yang belum berpengalaman, kerana bimbang pelaburan dalam tenaga kerja ini tidak mendatangkan hasil.
Situasi ini diburukkan lagi dengan ketidaktentuan dasar di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
Hanke menyifatkan suasana ini sebagai “regime uncertainty”, di mana polisi yang berubah-ubah – terutamanya dalam soal tarif dan peraturan perdagangan – menambah lagi kebimbangan pelabur dan perniagaan.
Ramai memilih untuk menangguhkan keputusan pelaburan besar sehingga ada kejelasan dasar.
Keadaan ini, menurut Hanke, seakan mengulangi sejarah era New Deal pada tahun 1930-an, apabila dasar yang tidak konsisten memanjangkan tempoh gawat di Amerika Syarikat.
Perang geopolitik, terutama di Timur Tengah, turut menyumbang kepada tekanan ini.