Pada 5 Jun 2026 di Kuala Lumpur, Naza Eastern Motors telah melancarkan tiga model terbaharu bagi memperkukuh barisan kenderaan Suzuki dalam segmen gaya hidup dan SUV kompak di Malaysia, iaitu; Suzuki Jimny AllGrip Plus, Suzuki Jimny Rhino Plus dan Suzuki Fronx Sport.
Pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan Suzuki dalam menggabungkan reka bentuk ikonik dengan praktikaliti serta teknologi moden.
Suzuki Jimny AllGrip Plus

Peningkatan Keselamatan dan Kemudahan Harian Model Suzuki Jimny AllGrip Plus tampil dengan penambahbaikan ketara dari segi keselamatan aktif dan bantuan pemandu, sambil mengekalkan watak lasak dan kemampuan off-road yang sinonim dengan warisan Jimny.
Model ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter empat silinder yang menjana 100hp dan tork 130Nm, berserta transmisi automatik empat kelajuan dan pacuan empat roda AllGrip Pro.
Antara ciri baharu yang disertakan adalah Kawalan Pelayaran Adaptif (Adaptive Cruise Control), Dual Sensor Brake Support II (DSBS II), penderia parkir hadapan dan belakang, serta enam beg udara.
Model ini mengekalkan harga terdahulunya iaitu bermula dari RM158,900 (atas jalan tanpa insurans) dan ditawarkan dalam enam pilihan warna.
Suzuki Jimny Rhino Plus

Gaya Eksklusif yang Lebih Lasak Bagi mereka yang menggemari gaya pengembaraan luar, Suzuki Jimny Rhino Plus menampilkan identiti visual yang lebih berani dan menonjol.
Walaupun ia berkongsi rangkaian kuasa dan kemampuan sistem pacuan empat roda yang sama dengan varian AllGrip Plus, Rhino Plus dilengkapi pakej penggayaan eksklusif seperti roda aloi 15 inci yang digilap, penutup tayar ganti berlogo Rhino, gril hadapan eksklusif, serta penahan lumpur (mud flaps) berwarna merah.
Model ini ditawarkan dalam tiga warna pilihan pada harga bermula dari RM173,900 (atas jalan tanpa insurans).
Suzuki Fronx Sport

Penggayaan Sporty dan Penawaran Nilai Terbaik Bagi segmen SUV kompak, Suzuki Fronx Sport baharu diperkenalkan dengan rupa bentuk yang lebih sporty yang menyasarkan pemandu bandar.
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Indonesia, model ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter dengan Integrated Starter-Generator (ISG) yang menghasilkan 103PS dan tork 138Nm.
Gabungan bateri hibrid litium-ion ini membolehkan pencapaian jarak perjalanan melebihi 700 km (kadar WLTP).
Fronx Sport didatangkan dengan kemasan aksesori dinamik seperti bibir hadapan (front lips), spoiler belakang, rim aloi 17 inci dengan tayar Continental UltraContact UC7, dan sistem keselamatan ADAS yang komprehensif.
Harga bagi varian Fronx Sport ialah RM130,888 (atas jalan tanpa insurans)
Dalam pada itu, model standard Suzuki Fronx kini menerima pelarasan harga baharu yang lebih menarik, iaitu RM118,888 (atas jalan tanpa insurans), dan kekal disokong oleh penarafan keselamatan 5-Bintang ASEAN NCAP.

Komitmen Terhadap Ketepatan Jangkaan Pelanggan Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan, model-model baharu ini diperkenalkan untuk memberikan penambahbaikan dan nilai yang lebih kompetitif buat para pelanggan, sama ada mereka mencari gaya, praktikaliti, mahupun kenderaan yang dapat mengekspresikan gaya hidup mereka.
Dari aspek perlindungan, kesemua model ini dilindungi oleh waranti kenderaan selama 3 tahun atau 100,000 km (mana-mana yang tiba dahulu).
Khusus buat pembeli Suzuki Fronx Sport, waranti tambahan untuk bateri selama 5 tahun atau 100,000 km turut diberikan.
Keseluruhan pengalaman pemilikan ini disokong penuh oleh rangkaian 14 pusat jualan dan 13 pusat servis Naza Eastern Motors di seluruh negara.