Flores, dalam bahasa Portugis bermaksud bunga. Keindahan kepulauan di Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia ini seperti bunga yang mekar berkembang pasti menarik sesiapa sahaja untuk datang bertandang. Lonely Planet (LP) sendiri menyenaraikan Pulau Flores sebagai ‘Indonesia’s Next Big Thing in Tourism’.
Perjalanan ke sini tidak mudah. Tiada penerbangan terus dari Malaysia, pengunjung harus transit sama ada dari Denpasar Bali ataupun Jakarta. Penerbangan mengambil masa selama 3 jam dari KL- Denpasar Bali.
Tambahan satu jam diperlukan untuk penerbangan Denpasar Bali- Labuanbajo (Bandara Komodo). Bagi route Denpasar – Labuanbajo, pesawat akan terbang rendah.
Semasa check-in pesawat, dengan senyuman yang paling manis, mohon dengan staff bertugas untuk dapatkan seat window belah kanan bagi mendapatkan permandangan bukit bukau savannah hijau yang memukau dari dalam pesawat.
Pulau Flores merupakan antara syurga bagi pencinta alam dan budaya. Anugerah daripada Tuhan dengan keindahan bawah laut, bukit bersavannah menghijau, haiwan eksotik hinggalah budaya unik yang masih kental dipelihara.
Jom tengok apa perkara yang tidak boleh kita terlepas saat berpijak ke Pulau Flores!
1. Desa Adat Wae Rebo
Bagi yang inginkan pengembaraan yang unik dan lain daripada yang lain, kunjungan ke Desa Adat Wae Rebo sangat disarankan. Wae Rebo, dijoloki sebagai desa di atas awan. Desa yang tersembunyi dan sangat terpencil di atas pergunungan. Berkedudukan lebih 1000 meter dari paras laut.
Perjalanan ke Wae Rebo agak mencabar. Dari Labuan Bajo ke Desa Denge (desa terdekat dengan Wae Rebo yang dapat diakses dengan kenderaan) sahaja mengambil masa selama kira-kira 7-8 jam dengan jalan yang sempit dan ‘bumpy’.
Apabila kenderaan bertembung dari dua arah bertentangan, satu kenderaan terpaksa merapat ketepi untuk memberi laluan kepada kenderaan yang berselisih dari arah berlawanan.
Di Desa Denge, terdapat satu homestay iaitu Wejang Asih bagi yang ingin bermalam sebelum meneruskan pendakian ke Wae Rebo ataupun meninggalkan backpack yang berat. Untuk trekking ke Wae Rebo, adalah digalakkan hanya membawa daypack dengan barang keperluan yang minima sahaja supaya beban yang dibawa selama mendaki kurang terasa.
Dari Desa Denge ke Wae Rebo berjarak sekitar 9km. Mujurlah sudah ada jalan berbatu yang diturap sejauh 4.5km tetapi hanya boleh dilalui dengan ojek (motorsikal) sahaja kerana keadaan jalan yang berlumpur, berbatu besar dan berlubang.
Jalur trekking dengan berjalan kaki berbaki 4.5 km ke pergunungan Desa Wae Rebo. Trekking mengikut denai yang sempit dan menanjak di kebanyakkan laluan memerlukan masa selama 3-4 jam sebelum sampai ke Wae Rebo bergantung kepada stamina dan kekuatan fizikal masing-masing.
Sebelum sampai ke Wae Rebo, kita akan sampai dulu ke “Rumah Kasih Ibu” dimana guider akan membunyikan satu alat khas sebagai isyarat kepada penduduk di Wae Rebo tentang kedatangan pelawat. Alat ini hanya boleh dimainkan sekali. Dari “Rumah Kasih Ibu”, Desa Wae Rebo sudah jelas kelihatan.
Di Desa Wae Rebo ini hanya terdapat 7 rumah utama yang disebut “Mbaru Niang”. Rumah “Mbaru Niang” berbentuk kerucut dengan atap yang hampir menyentuh tanah. Usaha pemuliharaan dan pengekalan rumah “Mbaru Niang” telah mendapat pengiktirafan daripada UNESCO bagi kategori konservasi warisan budaya.
Sesampai ke Desa Wae Rebo, kami dibawa ke rumah utama “Mbaru Niang Gedang” berjumpa dengan Ketua Adat, Pak Rafael dimana diadakan satu upacara ringkas serta sesi berkenalan. Pak Rafael kemudiaannya mendoakan kesejahteraan tetamu.
Setelah selesai acara ini, barulah kita boleh membuat aktiviti bebas dan berjalan-jalan sekitar desa. Perlu diingatkan tiada sebarang liputan telekomunikasi di atas gunung ini. Tanpa signal bermakna masa untuk re-connect kepada nature dan ‘real people’!
Pengunjung yang ingin bermalam telah disediakan satu rumah “Mbaru Niang” khas untuk pelawat yang boleh memuatkan lebih 30 orang dalam satu-satu masa dengan disediakan tilam dan selimut.
Makan tengahari, makan malam dan sarapan pagi turut disediakan kepada tetamu. Menu makan malam kami adalah ayam dengan sambal pedas khas Menggarai.
Ayam merupakan makanan mewah disini. Ayam yang diternak hanya untuk santapan apabila ada keraian dan diraikan untuk tetamu yang bertandang.
Mereka sangat bertoleransi dan menghormati tetamu. Apabila ada pelawat Muslim yang bertandang, ayam akan diserahkan kepada tetamu Muslim untuk disembelih supaya mereka dapat makan ayam halal tanpa was-was!
Kehidupan penduduk Wae Rebo cukup sederhana. Penduduk disini self-dependent dengan menanam sendiri sayur-sayuran, kopi, kulit kayu manis dan sebagainya. Kaum ibu juga mahir menenun kain yang dilakukan di bawah rumah Mbaru Niang mereka.
Padang rumput dan halaman luas terbentang dimana anak-anak (bocah-bocah) gembira bermain bola sepak. Mereka girang bermain tanpa mengenakan sebarang alas kaki. Apa ada hal!
Kami cukup seronok dan teruja melihat wajah ceria anak-anak Wae Rebo apabila diajak bermain buih sabun gergasi yang didatangkan khas dari Malaysia. Siap berebut-rebut lagi!
Kanak-kanak suka sekali apabila gula-gula/ jajan (permen) diberi. Siap beratur lagi! Ada sesetengah orang menganggap pemberian permen kepada anak-anak kecil ini tidak elok kerana akan mewujudkan budaya meminta-minta dan memberi kemudaratan kepada kesihatan mereka. Terpulang kepada pandangan masing-masing. Kami hanya mahu berkongsi dan menceriakan mereka!
Penduduk di sini memasak menggunakan dapur kayu di dalam rumah Mbaru Niang. Memang berasap di dalam rumah. Menurut mereka, asap ini bagus kerana boleh mengelapkan kayu. Semakin gelap kayu dalam rumah semakin baik kerana boleh memanjangkan jangka hayat struktur rumah.
Apabila kita ditawarkan minuman semasa mengunjungi rumah mereka, jangan menolak kerana bagi mereka dikira kurang sopan sekiranya kita enggan. Tetapi selepas mereka minum dulu/ jemput minum baru kita boleh minum. Adat mereka. Masuk kandang kambing mengembek. Masuk kandang lembu meguak.
Hidangan yang serba sederhana seperti ubi kayu rebus dan kopi panas yang dihasil dan ditumbuk sendiri cukup menyelerakan!
Akses kepada kesihatan agak sukar dan terbatas di desa ini. Ibu-ibu mengandung terpaksa turun naik gunung untuk ke bawah, desa terdekat yang mempunyai kemudahan klinik desa. Mereka jarang ditemani suami masing-masing kerana dianggap manja kalau sentiasa berteman!
Kami mengagihkan ubat-ubatan yang dibawa khas dari Malaysia. Sebanyak 2000 biji paracetamol, 80 pack neobun, 80 pack pil gastrik, ubat cacing untuk kanak-kanak , eye drop dan minyak gamat telah berjaya diedarkan kepada ketua keluarga masing-masing dalam 6 buah rumah Mbaru Niang.
Kami berasa cukup bertuah dapat menyertai charity trip ini yang dikelolakan oleh Tong Sudey– pengasas & Dila- pengasas bersama bagi ‘The Fadaelo Project”. Fadaelo bermaksud ‘loving each other’ dalam bahasa Manggarai.
Tong sendiri sudah menggangap Wae Rebo sebagai kampung halaman dan lebih daripada 7 kali berkunjung ke Wae Rebo. Pemberian ubat-ubatan ini merupakan sumbangan kecil daripada kami tetapi besar maknanya buat mereka!
Briefing pemberian ubat sebelum diserahkan kepada ketua-ketua keluarga Desa Wae Rebo
Kemudahan pendidikan juga terbatas di desa ini. Tiada sekolah rendah (sekolah dasar) apatah lagi sekolah menengah (SMP & SMA) kerana demografik desa yang terpencil. Anak-anak yang mula bersekolah dasar (sekolah rendah) akan dihantar ke desa di bawah gunung dan dijaga oleh penjaga/ waris masing-masing.
Kunjungan selama 2 hari 1 malam ke Desa Wae Rebo, desa di atas awan ini terasa begitu singkat. Sesiapa yang sudah berkunjung ke desa ini, kebanyakkannya memasang angan-angan untuk kembali lagi. Pasti!
2. Live on board (Komodo Excursion)
Labuanbajo adalah kota pelabuhan yang mula berkembang pesat. Sejak daripada banyak gambar-gambar Instagram yang mula tular, pelancongan di Labuanbajo/Flores telah mula dikenali dan dikunjungi ramai.
Labuanbajo adalah pit stop wisatawan sebelum memulakan trip Live On Boat (LOB) di Komodo archipelago. Seelok-eloknya, sehari sebelum trip LOB, pengunjung disarankan terus ke pelabuhan dan deal sendiri dengan pengusaha-pengusaha bot berbanding hanya mengambil pakej daripada operator/ travel agent di pekan Labuanbajo.
Di Labuanbajo tidak sukar untuk mencari makanan halal, kebanyakkan penduduk di Labuanbajo adalah Muslim. Tempat makanan terkenal adalah di Kampung Kuliner tidak jauh dari Pelabuhan Labuanbajo yang betul-betul menghadap laut. Makanan laut yang segar boleh didapati dengan mudah dengan harga ‘murah meriah’.
LOB merupakan cara terbaik dan hemat untuk island hopping sekitar Komodo archipelago. Kebiasaannya, pakej LOB termasuk sekali dengan penginapan di dalam bot (ada bilik yang berhawa dingin), makan 3 kali sehari disajikan oleh tukang masak atas bot, tandas dan kemudahan asas yang lain.
Tidur di dek atas pada waktu malam lebih seru dengan angin sepoi-sepoi ditambah dapat ‘star gazing’ dan jika bernasib baik dapat lihat ‘meteor shower’!
Pastikan ambil ubat tahan muntah sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan mabuk laut.
Bagi hari pertama LOB trip kami, bot berhenti check point pertama di Pulau Kenawa untuk snorkeling. Kemudian kami berhenti di tengah-tengah laut yang terdapat sandbank yang digelar Lata Makassar.
Di sandbank ini, kita dapat berjalan di tengah-tengah laut kerana terdapat pasir dengan air laut yang cetek. Untuk melihat permandangan sunset pula, bot berlabuh di Gili Laba/ Lawa.
Bukit yang terpaksa dipanjat untuk mendapatkan permandangan yang terbaik agak menanjak/mendaki. Malangnya, awan agak tebal dan kami tidak dapat melihat sunset dengan baik. Walaubagaimanapun, malamnya kami dapat ber”star-gazing” kerana awan yang cerah dengan tiada pencemaran cahaya langsung!
Untuk hari kedua, bot bergerak agak awal ke Pulau Padar dan kami dapat menyaksikan sunrise di tengah-tengah laut. Pulau Padar adalah pulau yang paling terkenal dan sering terpapar di laman-laman Instagram dan Facebook.
Kemudahan trek/trail adalah baik dengan dibina tangga kayu di permulaan pendakian. Trail untuk ke puncak agak panjang tetapi tidak terlalu menegak seperti trail di Gili Laba/ Lawa.
Apabila sampai di puncak ataupun viewpoint, segala penat lelah pendakian hilang dengan permandangan yang disajikan. Serasa seperti berada di alam Jurassic Park, dengan bukit batu bersavannah dan tiga sisi pantai berbeza yang dapat dilihat dengan jelas. Sangat ‘surreal’! Tetapi awas, trafik agak sesak di sesetengah hot spot untuk mengambil gambar terbaik.
Dari atas bot juga di tengah-tengah perjalanan island hopping, kami dengan kelam kabut akan terjun ke laut lepas apabila kapten bot menjerit ada Manta Ray. Manta Ray di Komodo archipelago ini adalah daripada spesis yang stingless dan harmless, tu yang berani kejar!
Kemudiannya pada sebelah petang, kami berlabuh di Kampung Wisata Komodo. Kapten bot, Pak Ilyas menjemput kami ke rumah beliau dan membawa kami melawat sekitar kampung.
Sebelah malamnya, kebetulan jatuh pada malam new year 2017, kami meraikan secara laid-back bersama penduduk lokal sambil ditemani unggun api, tanglung, muzik dan sudah semestinya kembang api (bunga api)!
Pada hari terakhir LOB, barulah kami berpeluang ke Taman Nasional Komodo untuk menyaksikan sendiri keunikkan dan kegerunan kami kepada Komodo Dragon yang cuma didengari selama ini.
Komodo Dragon adalah cicak terbesar di dunia yang tersenarai sebagai 7 New Wonders in the World. Komodo Dragon hanya boleh dijumpai di sekitar Pulau Komodo dan Pulau Rinca, Flores sahaja.
Perlu dapatkan khidmat renjer untuk menjejaki raksasa ini. Tiket masuk bagi foreigner dan lokal sangat berbeza. Pandai-pandailah nak deal harga. Pengunjung wanita yang ‘datang bulan’ perlu maklumkan terlebih dahulu kepada renjer supaya tambahan langkah keselamatan dapat diambil kerana Komodo Dragon sangat sensitif kepada bau darah!
Sebelum kembali ke Labuanbajo, kami sempat singgah di pit stop terakhir LOB iaitu Pulau Kelor. Pemandangan di atas puncak Pulau Kelor ini cukup menakjubkan dengan air laut membiru, gunung menghijau dan awan nano, gambar picturesque!
Bagi pengemar pengembaraan laut-darat-tidur-laut-darat-repeat back to back, Komodo excursion LOB adalah untuk anda. No doubt!
3. Overland TransFlores
Trip overland sangat mengujakan dengan satu-satunya jalan TransFlores dari Barat ke Timur Flores. Kami memilih route Denge – Ruteng – Ngada – Bajawa – Ende – Moni – Kelimutu – Ende yang memakan masa selama 5 hari.
Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan bentuk muka bumi yang bergunung ganang, sungai yang deras dan jernih mengalir serta jalan di bukit-bukit curam menghadap laut dan pantai. Pengembaraan overland TransFlores ini membawa kami seolah-olah merentas ke masa silam (time machine).
Di Bajawa, kunjungi ke Desa Adat Bena tidak boleh dilepaskan. Bena merupakan kampung yang dianggap sebagai antara kampung tertua yang masih bertahan dengan apa yang diwariskan oleh leluhur terdahulu.
Berhampiran Desa Adat Bena juga, tersergam gagah Gunung Inerie (2245mdpl), sebuah gunung berapi dan merupakan puncak tertinggi bagi Pulau Flores.
Di Ende pula, terdapat satu pantai yang terkenal tidak jauh dari pusat Kota Ende iaitu Pantai Batu Hijau. Batu-batu yang berwarna ini dikutip dan dijual per karung terutamanya untuk dieksport ke Bali serta luar negeri.
Kebiasaanya digunakan untuk menghiasi spa-spa mewah. Untuk pengalaman kuliner yang unik di Ende dan Flores pula, kunjungan ke Rumah Makan Sari Rasa, Ende adalah wajib.
Rumah makan ini mengisi carta teratas Trip Advisor kerana layanan tukang masak/ownernya yang teristimewa yang akan menerangkan kepada tetamu menu yang disediakan satu persatu.
Makanan yang disediakan juga adalah authentic, dengan menggunakan mee yang diuli sendiri dan ayam organik (free range chicken). Highly recommended!
Highlight overland TransFlores adalah kunjungan ke Taman Nasional Kelimutu, berdekatan dengan pekan kecil Moni. Kelimutu adalah sebuah gunung berapi yang mempunyai danau (crater lake) dengan 3 warna berbeza.
Warna tasik ini akan berubah-ubah disebabkan oleh tindakbalas kimia daripada aktiviti gunung berapi. Masa yang paling baik untuk berkunjung adalah awal pagi, saat melihat matahari naik. Memang sangat berbaloi perjalanan selama 5 hari untuk sampai ke tempat magis ini.
Pesanan seorang random stranger yang ditemui semasa kembara overland masih terngiang-ngiang dalam kepala. Nasihat beliau untuk semua;
“Jangan pernah mencari teman, seumur hidup anda, anda tidak menemukan seorang pun sahabat/teman, JADILAH sahabat bagi sesiapa pun, dimana engkau pergi, engkau akan temukan sahabat.”
“Untuk membangun hidupmu, jangan ukur orang dengan harga, UKUR orang itu dengan peribadinya, nilainya!”