Kira-kira 32 syarikat konsesi lebuhraya membantah tindakan kerajaan menganugerahkan secara langsung projek Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) kepada syarikat swasta bagi semua lebuh raya di negara ini.

Menurut sumber terdekat kepada Free Malaysia Today (FMT), kerajaan telah menandatangani ‘perjanjian pelantikan’ bersama syarikat berkaitan YTL Corporation Bhd, pada 17 Nov, bagi penganugerahan projek MLFF itu yang bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akhirnya akan menanggung kos itu.

Baca Juga:

Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya (PSKLM) telah menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, mendakwa langkah itu melanggar perjanjian individu dengan kerajaan.

Tambahnya lagi,  ia bercanggah dengan perjanjian sedia ada untuk menawarkan konsesi kepada pihak ketiga ke atas konsesi sedia ada.

“Pihak kementerian akan membuat satu lagi kertas kerja dalam tempoh terdekat bagi memuktamadkan pelantikan tanpa persetujuan syarikat konsesi. Mereka juga tidak memberikan apa jua perincian butiran pelantikan.

“Tanpa perincian itu, tidak adil bagi kerajaan berbuat demikian tanpa persetujuan kami sebagai pihak yang masih mempunyai kontrak secara langsung,” kata sumber kepada FMT.

Manakala satu sumber lain memberitahu FMT, pihak persatuan sudah menghantar surat rasmi ditandatangani semua 18 syarikat mewakili syarikat konsesi, yang mana kesimpulan eksekutif menyatakan bagaimana penganugerahan tersebut tidak berpihak kepada mereka dan kerajaan.

“Penganugerahan itu seperti monopoli besar, di mana pendapatan tahunan tol keseluruhan kira-kira RM6 bilion. Selepas pelaksanaan, syarikat berkenaan akan mendapatkan semula kos pelaksanaan dengan bayaran tahunan antara RM650 ke RM800 juta oleh syarikat konsesi.

“Selain itu, pihak industri tol mempersoal rasional pemberian penganugerahan langsung, memandangkan syarikat dipersoalkan itu tidak mempunyai pengalaman dalam industri ini. Kos persaingan juga dipersoal kerana tiada analisis kos-faedah,” terang sumber.