Pada akhir November lalu, satu laporan mendedahkan sesetengah pemegang polisi insurans kesihatan memilih untuk menamatkan polisi mereka kerana tidak lagi mampu menanggung kenaikan premium bulanan mereka.

Sehubungan itu, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA), dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah mengumumkan langkah-langkah interim untuk membantu pemegang polisi/peserta takaful yang terkesan akibat penetapan semula premium/sumbangan baru-baru ini.

Baca Juga:

Langkah-langkah itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan pemegang polisi/peserta takaful agar dapat terus dilindungi oleh insurans/takaful perubatan dan kesihatan.

1. Perubahan premium/sumbangan yang diagihkan (spread out) di masa hadapan

Syarikat insurans dan pengedali takaful akan melaksanakan perubahan premium/sumbangan yang diagihkan (spread out) disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk tempoh sekurang kurangnya tiga tahun kepada semua pemegang polisi/peserta takaful yang terkesan disebabkan oleh penetapan semula premium/sumbangan.

Dengan langkah ini, sekurang-kurangnya 80% pemegang polisi/peserta takaful dijangka mengalami penetapan semula premium/sumbangan tahunan akibat inflasi tuntutan perubatan menjadi kurang daripada 10%.

2. Peruntukan khas untuk individu berumur 60 tahun ke atas yang dilindungi di bawah pelan minimum

Penangguhan sementara selama satu tahun dalam penetapan semula premium/sumbangan akibat inflasi tuntutan perubatan untuk individu berumur 60 tahun dan ke atas yang dilindungi di bawah pelan minimum oleh syarikat insurans atau pengendali takaful mereka.

Penangguhan sementara ini akan berkuatkuasa selama setahun dari tarikh ulangtahun polisi/sijil. Pemegang polisi/peserta takaful dinasihatkan untuk merujuk kepada syarikat insurans atau pengendali takaful mereka untuk mendapatkan butiran lanjut pelan MHIT mereka.

Kedua-dua langkah interim di atas tidak berkaitan dengan kenaikan premium/sumbangan yang mungkin dikenakan oleh kenaikan umur pemegang polisi/perserta takaful yang telah beralih kepada julat umur yang berbeza. Ini akan diuruskan oleh syarikat insuran/pengendali takaful.

3. Pilihan untuk mengaktifkan semula polisi/sijil bagi polisi/sijil yang telah ditamatkan atau luput pada tahun 2024

Pemegang polisi/peserta takaful yang telah menamatkan atau polisi/sijil mereka telah luput akibat penetapan semula premium/sumbangan pada tahun 2024 akan layak untuk menguatkuasakan semula polisi/sijil mereka tanpa memerlukan penilaian semula risiko tambahan.

4. Produk Alternatif MHIT

Sebagai pelengkap kepada langkah sementara, syarikat insurans dan pengendali takaful akan menawarkan produk MHIT alternatif yang sesuai dengan premium/sumbangan yang sama atau lebih rendah untuk pemegang polisi/peserta takaful yang tidak ingin meneruskan pelan MHIT sedia ada mereka yang mengalami penetapan semula harga.

Syarikat insuran dan pengendali takaful yang tidak mempunyai produk alternatif yang sesuai sekarang hendaklah menawarkan produk ini sedia untuk pemegang polisi/peserta takaful sebelum akhir tahun 2025.

Langkah-langkah interim ini akan memberikan sedikit kelegaan kepada pemegang polisi/peserta takaful sementara penetapan semula premium/sumbangan sistematik dan struktur diusahakan di seluruh ekosistem penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun langkah-langkah interim itu tidak mampan untuk jangka masa panjang kerana ia melibatkan kos yang tinggi kepada syarikat insurans dan pengendali takaful yang terpaksa menanggung beban kewangan tinggi buat masa ini.

Pada masa sama, Pihak industri bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) untuk membangunkan strategi mampan bagi menangani kesan kewangan daripada peningkatan kos penjagaan kesihatan dan tuntutan perubatan yang meningkat.

“Ini termasuk penubuhan dana sebanyak RM60 juta oleh Kerajaan, syarikat insurans, pengendali takaful, dan hospital swasta untuk mempercepatkan reformasi kesihatan yang lebih menyeluruh dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia

“Sebahagian dari dana tersebut akan digunakan untuk memudahkan membangunan produk asas MHIT yang melindungi penjagaan kesihan yang perlu dan membolehkan pemegang polisi/peserta takaful berumur 60 tahun dan keatas untuk beralih kepada produk asas baru apabila ia diadakan,” petik kenyataan industri insurans.