Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku 41 akaun dan beberapa entiti syarikat lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin berjumlah RM15,868,762 selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai, lapor Harian Metro.

SPRM dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, tindakan itu diambil selepas siasatan terhadap Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dijalankan sejak 17 Oktober lalu.

“Berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai yang telah dijalankan sejak 17 Oktober 2023, Suruhanjaya ini telah membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan amal tersebut dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.00 semalam.

“Sebelum ini, SPRM turut menggeledah premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

“Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM turut merakam keterangan beberapa saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Sumber