Mungkin ada di kalangan ibu bapa muda hari ini akan terasa stres ketika menjaga anak. Ada sahaja hal yang akan membuatkan mereka gatal tangan nak cubit, tarik telinga atau pulas perut anak yang pada sangkaan ibu bapa ini, itulah habuan buat anak tak mahu dengar kata.

Ada juga hal yang tetap jadi berkali-kali walaupun dah dipesan sampai berbuih mulut dan berasap telinga. Pada tanggapan ibu bapa, anak memang tak faham dan sengaja nak buat meter mereka marah naik laju.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Maka muncullah segala suara bukan setakat petir, suara singa dan raksasa pun ada. Anak? Tetap main macam biasa, buat hal yang sama, teruskan aktiviti mereka macam tiada apa-apa. Dan anak masih sayang ibu bapa.

Tapi ada pula ibu bapa yang masih terus-terusan sakit hati. Marah macam mana pun tak menjadi. Lama-lama stres sendiri. Dalam fikiran mereka, apa nak jadi apa dengan anak ini?

Namun begitu, tanya diri sendiri, perlukah ibu bapa jerit pada anak selalu? Mengarah-arah anak dengan suara lantang? Perlukah juga rotan atau penyangkut baju untuk melibas kaki apabila anak tak menurut kata?

Faham, ibu bapa juga ada limitasi dalam bersabar. Tapi marah dan jeritan atau pukulan yang kerap lama-lama tak berkesan pada anak pun walaupun niat dan tujuannya baik. Anak ambil masa untuk faham dan proses itulah yang sering menguji kesabaran ibu bapa.

Di sini ada 5 cadangan bagaimana ibu bapa muda iaitu anda untuk kawal rasa marah dalam diri dan anak. Mungkin bunyinya klise tapi belum cuba belum tahu kan. Anda boleh ubahsuai ikut situasi dan keadaan keluarga masing-masing.

1. Anda perlu belajar kawal suara. Kalau selalu sangat suara tinggi dan lantang, mulakan dengan kawal suara dulu. Tapi masih tegas cuma elakkan menjerit.

2. Apabila anda asyik marah dan membebel, lama-lama akan jadi tabiat. Anak pun lama-lama imun dan tak hirau dengan apa yang anda cakap. Sebab itu sekejap saja anak diam dan selepas itu diulang balik apa yang dibuatnya.

Anda kena kawal perkataan masa marah. Cuma cakap apa yang kita nak anak buat. Straight to the point. Contoh apabila mainan bersepah, dengan suara tegas anda minta anak kutip dan masukkan ia ke dalam bekas. Tak payah nak membebel:

“Mama dah penat kemas tadi! Kenapa sepah sini. Tau tak mama nak masak lagi?” Ini terangkan kemudian kepada anak.

3. Bayangkan anda di tempat anak. Kejap-kejap kena marah. Tak ke secara psikologinya anak akan rasa rendah diri dan tak berguna? Padahal sebetulnya anak tak faham pun apa yang dia kena marah, melainkan anda terangkan sebabnya dengan rasa kasih sayang.

4. Nak main sana tak boleh. Nak main sini tak boleh. Anda tak bagi pun alternatif untuk anak buat apa. Dah tak bagi main sana-sini, anda bagilah buku atau mainan untuk dia main di satu tempat.

Anda tak perlu sampai tahap mainan habis dibuang, buku sebuah pun tak ada. Anak nak main apa pun tak boleh. Tak ke mati kutu anak dibuatnya? Kalau anda, bagaimana?

5. Marah anak lari ke hulu ke hilir? Dari hujung rumah ke hujung dapur? Anak aktif dan sihat memang begitulah gayanya. Cuba elak marah dengan kata “Ini kenapa lari sana lari sini, duduk sana diam-diam”.

Sebaliknya beritahu anak supaya lari berhati-hati atau minta lari di bahagian tertentu sahaja. Anak aktif biarkan tenaganya disalurkan dengan betul.

Sememangnya bukan mudah mahu kawal suara, kawal marah. Apatah lagi dengan kerenah anak yang tengah membesar. Semuanya amat menguji kesabaran.

Namun, anda perlu ingat apa yang dilakukan oleh anda pada anak sekarang ini akan ditiru oleh mereka. Jadi anda sebagai ibu bapa yang tentukan corak anak tersebut, ia bermula daripada diri anda sendiri.

Ini satu video yang menarik. Agak-agak apakah anak anda akan selalu sebut ini kepada anda apabila mereka dewasa kelak?