Tular video seorang lelaki yang ditarik keluar kemudian diikat dan dibelasah oleh beberapa orang awam sehingga dia maut.

Menurut laporan Harian Metro, kejadian itu berlaku pada 20 Februari di Kajang. Di mana lelaki yang memandu Proton Saga berwarna kelabu itu terlibat kemalangan dengan seorang penghantar makanan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pemandu tersebut telah dikejar orang awam sehingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, di mana keretanya telah terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Mangsa kemudian dipercayai ditarik keluar dan diikat sebelum dia dipukul.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan mereka menerima maklumat pada 9.20 malam mengenai kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2.

Zaid berkata: “Pihak ambulans yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia dan siasatan turut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di lokasi.” – seperti dilaporkan Harian Metro.

Saksi kejadian mendakwa suspek telah ditarik keluar dari keretanya yang sudah terbabas itu oleh sekumpulan lelaki. Dan mereka terus mengikat dan memukul mangsa sampai mati.

Ketika polis tiba di tempat kejadian, mangsa berada di atas jalan raya dan orang awam di situ mulai beredar.

Pasukan Forensi PDRM Bukit Aman datang ke tempat kejadian untuk melakukan penyiasatan lanjut.

Beberapa sampel darah, kesan cap jari dan dua gumpalan tali dirampas untuk siasatan.

Menurut polis lagi, seramai 5 lelaki tempatan ditahan di Semenyih dan Beranang pada 2.05 pagi. Mereka berusia 22 sehingga 52 tahun.

Kesemua suspek direman 5 hari sehingga 5 Februari ini untuk membantu siasatan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, polis masih menunggu laporan tentang kemalangan pertama yang berlaku di Kajang.

Mereka yang ada maklumat tentang kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 (Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang) dan Inspektor Ammar Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013.

Di media sosial ramai mengecam mereka yang mengambil tindakan sendiri dan melampau itu. Dan menjangkakan ada yang bakal ke tali gantung kerana perkara itu.