Bagi penduduk Johor, motosikal merupakan nadi utama untuk bergerak sama ada untuk perjalanan jauh, meredah lebuh raya, mahupun rutin berulang-alik ke Singapura.

Portal platform jual beli motosikal dalam talian terkemuka di Malaysia, iMotorbike menyatakan kepelbagaian penggunaan motosikal di Johor telah mencerminkan tingkah laku penunggang.

Purata umur penunggang sekitar 34 tahun dan pecahan jantina sebanyak 68 peratus lelaki serta 32 peratus wanita.

Menurut portal itu lagi, terdapat 5 trend utama motosikal yang mendefinisikan penunggang Johor hari ini:

1. Kepelbagaian Jenama Premium dan Arus Perdana

Penunggang di Johor kini membeli daripada pelbagai pilihan jenama yang lebih luas, termasuk Yamaha, Honda, Kawasaki, Ducati, dan Suzuki.

Kehadiran jenama Ducati menunjukkan peningkatan dalam kalangan penunggang tegar (peminat hobi), yang menandakan bahawa pasaran kini tidak hanya didorong oleh faktor praktikal semata-mata, tetapi juga oleh prestasi dan gaya hidup.

2. Skuter Kekal Penting untuk Ulang-Alik Harian

Walaupun terdapat minat terhadap motosikal berprestasi tinggi, model skuter seperti Honda Vario 160, Yamaha NVX 155 (ABS), dan Yamaha NMAX 155 kekal sebagai antara model yang paling banyak dipandu uji.

Ini mencerminkan kepentingan berterusan terhadap pengangkutan yang praktikal dan menjimatkan minyak, terutamanya bagi mereka yang berulang-alik setiap hari atau melakukan perjalanan merentas sempadan Singapura.

3. Minat Lebih Tinggi terhadap Motosikal Berprestasi dan Sukan

Penunggang di Johor menunjukkan kecenderungan yang lebih kuat terhadap motosikal berkapasiti tinggi dan berorientasikan prestasi, dipengaruhi oleh jarak perjalanan yang jauh serta penggunaan lebuh raya yang kerap.

Kehadiran jenama seperti Kawasaki dan Ducati memperkukuhkan lagi trend ini, sekali gus menonjolkan segmen peminat hobi yang lebih berkembang maju.

4. Pilihan Berasaskan Gaya Hidup Semakin Ketara

Populariti model seperti Vespa Sprint S 150 menunjukkan bahawa penunggang di Johor juga membuat keputusan berdasarkan gaya hidup, di mana faktor reka bentuk, penjenamaan, dan identiti peribadi memainkan peranan penting dalam pembelian mereka.

5. Trend Tunggang Uji Mencerminkan Utiliti dan Cita-cita

Model yang paling banyak dipandu uji ialah Honda Vario 160, Yamaha NVX 155 (ABS), Honda RS-X 150, Vespa Sprint S 150, dan Yamaha NMAX 155.

Ini menunjukkan keseimbangan yang jelas antara praktikaliti harian dan keinginan untuk menaik taraf kenderaan.

Penunggang bukan sekadar memilih apa yang berfungsi untuk mereka, malah mereka turut mempertimbangkan apa yang dapat meningkatkan pengalaman tunggangan secara keseluruhan.

“Pasaran motosikal Johor mencerminkan permintaan dua lapisan. Di satu sisi, penunggang sangat bergantung kepada skuter untuk ulang-alik harian dan kecekapan kos.

“Di sisi lain, terdapat keinginan yang jelas dan semakin meningkat terhadap motosikal berorientasikan prestasi dan gaya hidup,” kata portal iMotorbike.com.