Saya sebenarnya bukanlah pandai sangat dalam hal-hal keibubapaan. Almaklum, baru pertama kali menjadi seorang ibu. Banyak lagi nak kena korek dan belajar.

Tetapi anak ini sebenarnya setiap hari mengajar saya untuk cuba menjadi ibu yang terbaik untuknya. Ianya tak mudah tapi tidaklah sesukar mana. Orang kata ‘bolehlaaaaa‘.

Masa awal-awal dulu memang saya tak pandai nak suruh anak tidur awal. Saya biar sahaja dia tidur ikut waktu dia.

Tetapi ada sekali tu semasa saya menonton live sharing Dr.Maryam, dalam pukul 9 malam, anak dia pergi pada’mommy’ dan ‘daddy’ bagi salam untuk masuk tidur. Pergi masuk tidur sendiri pula tu. MashaAllah, kagum!

Saya masih di peringkat ber’eksperimen’ sebenarnya. Alhamdulillah, memang boleh nampak hasilnya setelah kita konsisten. InshaAllah, mudah-mudahan selepas ini anak saya pandai-pandailah nak tidur sendiri.

1. Rancang waktu tidur anak.

Tip yang pertama ini sangat penting. Bermula dari anak bangun tidur pun, kita patut sudah rancang tidur siang dia pukul berapa dan berapa lama, dan waktu tidur malam sepatutnya pukul berapa.

Macam saya memang dah latih anak tidur pukul 2-3 petang macam. Tidurlah dalam sejam atau lebih sikit. Dan janganlah bagi anak tidur lepas Asar. Naya ja!

Selepas itu, cakap pada anak pukul berapa kita mahu dia tidur malam. Contohnya saya cakap ‘malam ini Qisya tidur pukul 9 ya’. Cakap banyak-banyak kali biar dia boleh sedar dalam kepala, malam nanti kena tidur awal.

Kalau tak tepat puku l9 pun, sekurang-kurangnya, lebih kurang waktu tu jugalah dia tidur.

2. Elak beri makanan manis dan bergula selepas pukul 7 malam.

Saya percaya ramai juga di kalangan para ibu yang belum perkenalkan lagi makanan bergula kepada anak-anak sebelum usia 2 tahun. Jadi, tip ini mungkin tak terpakailah untuk mereka.

Walaupun saya suka menjaga pengambilan gula, tetapi saya sudah beri anak saya cuba rasa (makanan manis). Makanan rapu memang cuba elaklah sebolehnya.

Jadi, kalau kita sudah perkenalkan makanan bergula kepada anak, hadkan sampai pukul 7 malam sahaja. Sebab gula ini boleh buat anak jadi aktif.

Yelah, dapat tenaga kan. Lagi-lagi kalau dah memang menghampiri waktu tidur sangat, A BIG NO-NO lah benda-benda manis ni.

3. Berikan mandian air suam untuk si kecil sebelum tidur.

Yang ini, kena bereksperimen jugalah. Ada anak kecil lagi mandi, lagi dia aktif.

Tetapi sebelum tidur, mandian air suam sebenarnya buat cepat rasa mengantuk. Sebab rasa selesa. ‘Cozy’ je.

Jangan lama sangat. Sekadar nak bagi dia rasa nyaman.

4. Buat urutan untuk si manja dengan minyak ‘essential’.

Lepas si manja mandi, bolehlah buat urutan sikit dia dengan minyak pati (essential oil) yang sesuai untuk si kecil tidur.

Antara minyak pati yang sesuai adalah lavender dan roman chamomile. Saya kadang-kadang guna minyak muka sahaja.

Tetapi saya macam pernah nampak orang jual minyak untuk bayi senang tidur. Bolehlah mula cari ya.

5. Baby conditioning.

Ok. Sebenarnya bagi urutan tu pun termasuk teknik ‘baby conditioning’ jugak.

Selain itu, kita pun pasangkanlah muzik beralun yang untuk mendodoi atau lebih afdhalnya bacaan ayat Quran. Kita bacakan untuk dia lebih nyaman rasanya.

Selepas itu, tutup semua lampu jangan ada bagi sedikit pun cahaya masuk. Cahaya telefon pun tak boleh.

Maknanya, ibu-ibu kena bertahanlah sekejap. Inilah masanya pun kita nak mengikat kasih sayang dengan anak. Tengok muka dia bahagia tidur di sebelah kita.

Kalau rumah jenis banyak nyamuk, pasang dulu ubat nyamuk siap-siap.

Pasanglah penghawa dingin kalau dia suka sejuk. Kita nak bagi anak tidur dengan nyaman sampai esok pagi.

Kalau tiba-tiba pukul 12 dia terbangun sebab nyamuk gigit atau panas, tak ke perit nak tidurkan balik? Huhu.

6. ‘Ibu, konsisten dan bertabahlah!’

Memang bukan mudah latih anak kita tidur awal kalau kita baru bermula. Mencabar sungguh aih.

Malam pertama saya ambil masa sejam lebih untuk tidurkan dia. Langsung tak tengok telefon. Tawakkal ja kalau ada pelanggan PM, harap dia bersabar.

Memang kena fokus betul-betul untuk anak kita ni tidur. Kena buat hari-hari pula tu.

Ada hari rasa nak mengalah itu biasa. Nak biarkan saja dia tidur pukul berapa. Tapi kita nanti kuatkan diri balik – ‘ini semua untuk kebaikan anak’.

Jadi, ibu-ibu yang kuat teruskan usaha kalau betul-betul nak mulakan disiplin tidur anak-anak. Sampai nanti dia dah ada ‘biological clock’ sendiri. Dia sendiri yang rasa nak tidur bila sampai waktu tidur dia yang kita latih.

InshaAllah, moga mudah semuanya.