Lebih separuh daripada golongan dewasa di Malaysia optimis terhadap kesan AI terhadap pekerjaan mereka.

Namun pada masa yang sama bimbang teknologi tersebut akan menggantikan mereka dalam beberapa tahun akan datang, menurut satu laporan.

Baca Juga:

Ipsos AI Monitor 2025 baru-baru ini menjalankan tinjauan ke atas lebih 23,000 orang dewasa di 30 buah negara, termasuk 500 orang dewasa di Malaysia, antara bulan Mac dan April, bagi mengetahui pandangan mereka terhadap teknologi AI.

Ada baik, buruk teknologi AI buat rakyat Malaysia

Kajian itu mendapati bahawa 54% orang dewasa di Malaysia percaya peningkatan penggunaan AI akan menjadikan pekerjaan mereka lebih baik dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang — meningkat daripada 39% yang direkodkan tahun lalu.

Namun pada masa yang sama, 63% orang dewasa di Malaysia juga berpendapat bahawa AI akan menggantikan pekerjaan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang, sedikit meningkat daripada 62% tahun lepas.

“Trend ini menunjukkan kesediaan yang semakin meningkat untuk mengintegrasikan AI ke dalam tempat kerja.

“Namun, optimism ini turut disertai dengan kebimbangan tersendiri, memandangkan 63% rakyat Malaysia bimbang AI berpotensi menggantikan pekerjaan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” kata Ipsos Malaysia dalam satu kenyataan.

Ipsos ialah sebuah syarikat penyelidikan pasaran global yang berpangkalan di Perancis. Mereka menjalankan pelbagai jenis tinjauan, kajian pendapat, dan penyelidikan pasaran. Ini termasuklah dalam bidang politik, sosial, pengguna, dan kini juga teknologi seperti AI.

Sumber