Syukur Alhamdulillah ibu bapa dnb adik perempuan saya selamat sampai di Malaysia hari Isnin yang lalu. Sedikit kesibukan mengemas rumah menyebabkan saya tak dapat memenuhi beberapa hajat jemaah untuk berjumpa.
Ramai yang bertanya tentang perjalanan umrah keluarga saya. Jadi saya ingin berkongsi sedikit pengalaman menguruskan umrah DIY (Do-it-Yourself). Pengalaman pertama umrah DIY saya adalah pada Ramadan 2014.
Ketika itu saya bawa bersama anak saya Medina yang berusia 9 bulan dan ahli keluarga saya seramai 4 orang. Suami waktu itu sudah 4 tahun menetap di Mekah.
Perkara yang perlu diuruskan secara DIY:
1. Visa Umrah
Anda perlu hantar dokumen lengkap untuk memohon visa umrah melalui agensi yang diiktiraf. Sila rujuk di intranet.jawhar.gov.my. Proses ini mengambil masa antara 3 ke 7 hari waktu bekerja dan anda perlu lampirkan tiket penerbangan dan hotel yang sudah ditempah.
Tempoh visa ini membolehkan anda berada sedikit lama di Mekah dan Madinah iaitu selama 15 hari (13 hari untuk tempoh bermalam dan 2 hari perjalanan pergi / balik). Berbeza dengan keluarga saya, mereka datang dengan menggunakan Visa Bisnes.
2. Tiket Penerbangan
Ada masanya tiket penerbangan adalah murah terutama bila ada promosi. Tiket kelas ekonomi daripada pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa dan anda boleh pilih sama ada mahu yang transit, atau penerbangan terus. Selalunya yang transit lebih murah berbanding penerbangan terus.
Sewaktu saya tempah tiket Business Class Saudi Airlines, keluarga saya berlepas dari Kuala Lumpur – Jeddah dan sewaktu pulang pula melalui Madinah – Kuala Lumpur. Harganya RM5,100.00 seorang. Alhamdulillah ini adalah harga promosi bagi kelas bisnes. Tiket ditempah 3 minggu sebelum mereka berangkat ke Mekah.
Untuk perbandingan harga tiket penerbangan anda boleh semak di aplikasi SkyScanner.com.
3. Hotel
Pilihan di tangan anda. Ada banyak hotel 5 bintang di Mekah dan Madinah yang menawarkan harga yang murah. Anda boleh pilih sama ada mahu yang dekat atau sedikit jauh daripada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Ketika di Mekah, keluarga saya tinggal di Makkah Royal Clock Tower A Fairmont Hotel selama 5 hari 4 malam dan di Madinah pula di Al Anwar Movenpick selama 3 hari 2 malam.
Kelebihan DIY ini anda boleh pilih hotel sendiri mengikut bajet dan keselesaan. Ada bilik yang boleh nampak view Kaabah. Juga tiada had berapa orang satu bilik.
Aanda dapat duduk satu keluarga sebilik tanpa perlu berpisah suami, isteri dan anak-anak. Kebanyakan hotel-hotel di sekitar Ajyad sudah penuh dan telah disewa kepada agensi travel tertentu yang menempatkan rombongan jemaah umrah.
Antara hotel di Menara Jam Abraj Al Bait (ZamZam Tower) dan sekitar dataran Masjidil Haram yang saya sarankan:
- Makkah Royal Clock Tower A Fairmont Hotel
- Rayhaan Al Marwaa by Rotana
- Pullman Hotel
- Raffles Hotel
- Movenpick Hotel
- SwissOtel Makkah
- Retaj Al Rayyan
- Hilton Tower
- Dar Al Tawhid Intercontinental
- Safwah Orchids Hotel
- Dar Al Ghufran
- Dar Al Eiman
Hotel di Madinah berhadapan pintu Gate 25 (Raudah):
- The Oberoi- Al Ansar Golden
- Al Haram Hotel
- Dar Al Taqwa
- Dar Al Iman Intercontinental
- Al Anwar Movenpick
- Madinah Hilton
4. Kenderaan
Saya tinggal di Mekah jadi untuk kenderaan saya hanya gunakan kereta suami untuk ziarah dan sebagainya. Kami juga ada kenalan yang menawarkan khidmat ground-handling di Mekah dan Madinah. Mereka ini adalah penduduk dan pelajar Malaysia yang tinggal di sini.
Secara tidak langsung ini menjadi salah satu sumber rezeki buat mereka juga. Selain daripada itu anda juga boleh gunakan perkhidmatan teksi dengan download aplikasi teksi Careem . Ia sama seperti Uber Malaysia. Di sini ingin saya tekankan pentingnya anda tahu tarif harga dengan kadar tertentu agar tidak ditipu oleh pemandu teksi.
Dari Mekah ke Madinah anda boleh naik bas VIP Saptco dengan harga 110 riyal seorang (ada wifi, makanan ringan, pramusaji / pelayan dan tandas) atau melalui penerbangan domestik Jeddah – Madinah / Madinah – Jeddah. Kadar sewa kenderaan bersama pemandu bergantung kepada jenis kenderaan GMC, Van atau sedan.
5. Mutawif
Jangan khuatir, ramai mutawif di Mekah dan Madinah yang memberi khidmat sebagai mutawif umrah dan ziarah. Pelajar-pelajar Malaysia di Mekah dan Madinah juga semestinya fasih dengan sejarah di kedua-dua Tanah Haram.
6. Restoran
Banyak restoran dan kiosk yang menjual makanan di sekitar Masjidil Haram, Safwa Tower tingkat 2 dan ZamZam Tower tingkat 3. Biasanya penginapan di hotel sudah termasuk sarapan pagi. Jadi untuk tengah hari dan makan malam boleh beli ikut selera. Di Madinah banyak kiosk dan restoran di sekitar hotel.
7. Itinerari
Ikut keselesaan dan MASA anda sendiri. Ini adalah kelebihan DIY kerana tidak perlu mengikut jadual dari agensi tarvel. Ada privasi untuk keluarga sendiri dan tidak terikat dengan kesuntukan masa menguruskan anak dan ahli keluarga yang kurang sihat.
Ziarah serta umrah sunat boleh dilakukan ikut masa dan kemampuan. Bagi yang sudah beberapa kali menunaikan umrah mungkin mahu meneroka kawasan ziarah yang lain seperti Taif dan Jeddah.
Baca: Bagaimana Kami Buat Umrah DIY Selama 10 Hari (Bahagian 1)
Nota PENTING
1. Umrah DIY tidak disyorkan kepada jemaah yang baru pertama kali menunaikan ibadah umrah. Ambil pakej dari pihak travel agensi bagi memudahkan perjalanan dan pergerakan anda sewaktu pertama kali ke sini.
2. Umrah DIY ini hanya sesuai buat jemaah yang sudah mempunyai pengalaman dengan umrah pertama sahaja. Atau lebih baik sudah beberapa kali menunaikan umrah dan mahukan perjalanan ibadah yang lebih privasi bersama ahli keluarga.
3. Risiko amat tinggi. Rajinkan membaca, menelaah ilmu yang melibatkan umrah. Banyakkan kajian dan belajar apakah yang mesti dilakukan di sini.
4. Jika berlaku kecemasan melibatkan kemalangan dan kematian perlu terus hubungi pihak Konsulat Malaysia di Jeddah. Terdapat banyak farmasi berdekatan untuk mendapatkan ubat-ubatan. Atau boleh ke Abraj Clinic di Tingkat P11 ZamZam Tower untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.
5. Kenalan di Mekah dan Madinah. Jalinkan silaturrahim dengan rakyat Malaysia yang menetap di Tanah Haram. Dengan ini anda boleh bertanya pendapat dan pandangan yang pelbagai daripada mereka. Pastikan maklumat dan sumber yang anda perolehi adalah SAHIH & TEPAT. Tidak semua yang menetap di Tanah Haram tahu prosedur atau tertib umrah. Bertanyalah kepada yang mahir.
KOS keseluruhan? Anda pilih, anda rancang mengikut kemampuan.
Umrah adalah perjalanan ibadah, bukan perjalanan untuk bersiar-siar atau melancong. Hadirkan diri ke kursus-kursus umrah yang dianjurkan sebelum berangkat ke tanah suci. Dalami ilmu dan rajinkan menelaah bacaan yang berkaitan dengan umrah agar ibadah anda tidak menjadi sia-sia.
Umrah DIY atau pakej sama sahaja. Keyakinan dan kebergantungan anda kepada Allah SWT adalah yang utama. Juga, rezeki setiap hambaNya berbeza-beza, ada yang diuji dengan dugaan dan ada juga yang dipermudahkan. Kuncinya adalah DOA.
Saya mohon maaf kepada kenalan yang menerajui travel agensi jika tidak senang dengan perkongsian mengenai umrah DiY ini. Yang baik dan bermanfaat jadi kan panduan.
Baca lagi: Umrah DIY Memang Murah Tapi Pertimbangkan 7 Risiko Ini Dulu