Halal Development Corporation Bhd (HDC) memaklumkan lebih 70% daripada pemegang pensijilan halal di Malaysia didominasi syarikat bukan Bumiputera.
Memetik laman Berita Harian, Khairul Azwan Harun selaku Pengerusi HDC berkata faktor mendorong keadaan itu adalah disebabkan sektor pengeluaran atau perkilangan terutamanya berasaskan makanan secara tradisinya masih didominasi oleh bukan Bumiputera.
Susulan itu, HDC mendedahkan yang mereka menghadapi cabaran dalam mencari lebih ramai usahawan Bumiputera yang terbabit dalam sektor pengeluaran produk makanan yang memerlukan pensijilan halal.
Hal ini bagi membangunkan ekosistem industri halal bagi eksort produk halal tempatan untuk berada di pasaran global.
Selain itu, beliau juga menegaskan perkara itu tidak seharusnya dipandang sebagai masalah memandangkan permohonan yang dibuat syarikat berkenaan menepati piawaian ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Untuk makluman, permohonan pensijilan halal penuh hanya boleh dibuat selepas sesebuah syarikat itu mendapat pengiktirafan daripada Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Pensijilan Good Manufacturing Practise (GMP), dan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP),” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu tentang adanya kerjasama HDC dan JAKIM dalam mempercepat dan mempermudahkan proses permohonan pensijilan halal sememangnya sudah bermula terutama dalam membantu pemohon mendapatkan garis panduan yang disyaratkan.
Sebenarnya sangat rugi buat warga Bumiputera yang tidak menerokai peluang pasaran halal di luar negara memandangkan kita sering dianggap sebagai hab halal terbesar di dunia dan dipandang tinggi oleh negara luar.