Menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, semakin ramai kakitangan awam di Malaysia didapati mengambil pinjaman peribadi bagi menampung perbelanjaan sempena musim perayaan ini, lapor Utusan.
Kenyataan ini datang daripada Presiden Angkasa, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah, yang mendakwa bahawa 70,000 orang kakitangan awam telah membuat pinjaman peribadi, iaitu peningkatan sebanyak 10% berbanding bulan-bulan biasa yang hanya mencatatkan sekitar 60,000 peminjam.
Trend Pinjaman Peribadi Semasa Perayaan
Abdul Fattah menjelaskan bahawa peningkatan ini selari dengan trend tahunan di mana permohonan pinjaman peribadi dalam kalangan penjawat awam biasanya meningkat semasa musim perayaan atau ketika menghadapi keperluan kewangan mendesak.

Antara faktor utama yang mendorong kakitangan awam ambil pinjaman peribadi adalah:
- Persiapan Aidilfitri (beli baju raya, masakan istimewa, duit raya, balik kampung)
- Keperluan pendidikan anak (yuran sekolah, pendaftaran universiti)
- Kos sara hidup harian yang semakin meningkat
Difahamkan bahawa ramai kakitangan awam, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, tidak mempunyai simpanan kecemasan.

Jadi, mereka terpaksa bergantung pada pinjaman sebagai penyelesaian jangka pendek.
Masalah Kewangan & Risiko Muflis
Beliau turut mendedahkan bahawa Angkasa menguruskan lebih 800,000 kakitangan awam yang mengambil pinjaman melalui sistem potongan gaji, dengan jumlah potongan mencecah RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion sebulan.
Statistik terkini juga menunjukkan bahawa pinjaman peribadi menjadi punca utama rakyat Malaysia diisytiharkan muflis.
Daripada tahun 2020 hingga 2024, 49.11% (15,413 kes) kebankrapan berpunca daripada pinjaman peribadi, termasuk 3,800 kakitangan awam yang telah muflis.

Abdul Fattah menasihatkan agar kakitangan awam untuk merancang kewangan dengan lebih baik, cuba elakkan berbelanja melebihi kemampuan dan mula bina tabungan untuk masa hadapan bagi tujuan kecemasan.
Selain itu, beliau juga ingatkan agar sambutan Aidilfitri dengan suasana yang sederhana agar diri tidak ditekan dengan beban hutang.