Awas dengan penjenayah dalam penipuan jual beli tanah.

Tanah adalah aset terpenting, terutamanya bagi individu yang mempunyai perancangan pelaburan jangka panjang. Pelaburan dengan tanah jika dilakukan mengikut prosedur betul, boleh menjanjikan pulangan menguntungkan.

Tapi dalam keghairahan membuat pelaburan dengan tanah, ramai yang pernah kecundang dengan nafsu sendiri. Kebanyakkan yang tiada tanah berlumba-lumba mendapatkan tanah.

Bagi yang memiliki tanah, macam-macam perancangan bermain di kotak fikiran. Malah setiap masa terbayang-bayang nilai ‘Ringgit Malaysia’ di mata mereka.

Keadaan ini menyebabkan ramai yang tersilap langkah hingga membuka ruang dan peluang kepada si penjenayah untuk menjadikan mereka sebagai mangsa penipuan jual beli tanah.

Janji serta kata-kata manis berbaur keuntungan selalu dijaja si penjenayah yang menyamar individu berpengalaman dalam bidang jual beli tanah, akhirnya menjadi mimpi ngeri sehingga menyebabkan mangsa kerugian melibatkan ratusan ribuan ringgit.

MODUS OPERANDI SUSPEK (si penjenayah penipuan dalam jual beli tanah)

1. Suspek biasanya bergerak secara individu dan terus menghilangkan diri apabila wang deposit dibayar.

2. Suspek akan berpura-pura hendak jual tanah dan tawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran untuk pancing mangsa.

Suspek kemukan geran tanah sebagai bukti dan minta mangsa membuat pembayaran tunai. Mangsa sedar ditipu apabila geran tanah yang diberikan sebenarnya palsu apabila diperiksa di pejabat tanah.

3. Suspek akan jumpa mangsa untuk bincang mengenai peluang-peluang perniagaan dan tender, sebelum ajak berkongsi beli tanah yang kononnya boleh dijual dengan harga lebih tinggi dan seterusnya berkongsi keuntungan.

Setelah mangsa serahkan wang, suspek menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

4. Suspek berpura-pura untuk beli tanah dan minta mangsa keluarkan wang simpanan kononnya untuk mengelakkan cukai. Suspek kemudiannya melarikan wang mangsa.

5. Mangsa beli tanah daripada suspek dan membuat pembayaran penuh. Namun setelah melihat tanah tersebut mendapati tanah itu milik orang lain.

6. Suspek buat perjanjian untuk jual tanah kepada mangsa dan minta bayar wang pendahuluan. Namun apabila mangsa hendak selesaikan semua bayaran, suspek jual tanah itu kepada orang lain.

7. Tukar hak milik tanah secara tidak sah dengan menggunakan identiti pihak ketiga serta memalsukan maklumat peribadi.

8. Mangsa beli tanah dari suspek dan membuat pembayaran penuh, sebelum mendapati keluasan tanah tidak sama seperti yang dikemukan dalam geran.

scam-jual-beli-tanah-3

Faktor mangsa ditipu dan kesan :

1. Sikap tidak teliti dan mudah terpedaya dengan tawaran harga tanah yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

2. Tidak mengetahui prosedur sebenar dalam urusan jual beli tanah

3. Tidak merujuk atau mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga

4. Tanah menjadi pilihan suspek untuk melakukan urus niaga palsu dengan mangsa kerana ia adalah asset yang mempunyai kecairan tinggi dalam pasaran semasa.

Bagaimana untuk kesan suspek

Sukar untuk kesan suspek kerana dalam kebanyakkan kes, mangsa gagal ambil identiti atau dokumen pengenalan suspek. Mangsa juga begitu mudah serahkan wang dan barang berharga tanpa sebarang dokumen jual beli dan resit pembayaran.

Pihak polis dan kementerian berkaitan terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menyiasat satu-satu kes keran maklumat yang diberikan mangsa tidak lengkap.

Tip elak jadi mangsa dalam penipuan jual beli tanah

1. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran jual atau beli tanah pada harga rendah sehingga sanggup bayar deposit berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’.

2. Orang ramai perlu lebih berhati-hati dalam urus niaga tanah kerana penipuan seumpama ini tidak menyasarkan golongan tertentu.

3. Semua pihak perlu bekerjasama membanteras kegiatan penipuan ini tidak kira dalam apa jua bentuk atau cara.

4. Orang ramai terutama masyarakat luar Bandar juga perlu meningkatkan pengetahuan mereka bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

5. Untuk sebarang jual beli tanah seeloknya mendapatkan pandangan pihak ketiga seperti penilaian dan juga peguam.

6. Berhati-hati jika anda ingin melakukan urusan jual beli tanah supaya tidak tertipu.

Diharapkan agar dengan sedikit sebanyak info dan perkongsian berkaitan ini dapat membantu anda semua dan semoga anda semua berjaya dalam pelaburan berkaitan TANAH.