Uber atau ride sharing programe merupakan sistem perkhidmatan pengangkutan yang menggunakan aplikasi telefon pintar dan kenderaan. Kenderaan Uber yang didaftarkan adalah mematuhi syarat yang ditetapkan oleh syarikat berasal Amerika Syarikat itu.
Sudah 3 tahun Uber bertapak di Malaysia dan pengguna juga maklum akan perkhidmatan ini. Banyak isu dan konflik yang dihadapi syarikat tersebut malah tidak kurang juga masalah yang dihadapi pemandu Uber.
Sekiranya anda bercita-cita menjadi pemandu Uber, dan menjana pendapatan RM 300.00 hingga RM 400.00 sehari, anda harus mengetahui beberapa perkara penting mengenai Uber. Catatan ini berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah menjadi pemandu Uber selama 8 bulan di Kota Kinabalu.
Pertama sekali, anda tidak perlu risau mengenai Uber kerana persatuan teksi tidak lagi berani menyentuh Uber malah ramai bekas pemandu teksi telah beralih kepada ride sharing programe tersebut.
Kenapa saya katakan ‘ride sharing programe? Kerana Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melalui pembentangan Bajet 2017 menyatakan sokongan yang jelas kepada rakyat Malaysia agar menyertai program tersebut.
Justeru, Perdana Menteri telah menganjurkan satu bentuk bantuan kepada mereka yang berminat menjadi pemandu Uber dengan memberikan diskaun sebanyak RM4000.00 untuk pembelian kereta Proton Iriz.
Sekiranya anda masih mendengar kes di antara teksi dan Uber, ia merupakan kes terpencil dan berlaku di peringkat individu. Berikut adalah perkongsian saya mengenai beberapa masalah yang dihadapi pemandu Uber khasnya di Malaysia:
1. Sekiranya anda baru mendaftar dan baru memulakan kerja sebagai pemandu Uber, perkara yang paling sukar sekali adalah masalah lokasi.
Ya, anda punya Maps atau Waze yang memudahkan anda untuk mencari lokasi penumpang dan destinasi yang dituju penumpang. Namun ia tak semudah yang anda sangkakan kerana google map tidak sama dengan realiti di atas jalan raya serta bentuk fizikal muka bumi. Hal ini menyukarkan anda untuk benar-benar mengenal pasti lokasi. Di peringkat awal, anda hanya perlu bertenang dan belajar mengingati selok belok kawasan.
2. Penumpang yang tidak dikenali.
Seringkali saya berhadapan permintaan daripada orang yang menggunakan aplikasi Uber, namun penumpangnya adalah orang lain. Ini adalah kes-kes di mana boyfriend, rakan, majikan atau ibu bapa penumpang yang menghantar request.
Ia menyebabkan kita merasa janggal dan kurang yakin. Pada tahap ini, anda perlu mewujudkan perasaan saling percaya dengan penumpang. Pernah beberapa kali saya mendapat penumpang wanita yang bekerja kelab malam dan hotel. Sabar dan tenang, anda hanya perlu selesaikan tugas dengan penuh integriti dan profesional.
3. Ramai yang menyangka jalan sesak akan menguntungkan pemandu Uber kerana adanya surge / pusuan yang melipat gandakan tambang.
Tanggapan ini sebenarnya sama sekali salah. Sebenarnya ia hanya menguntungkan kepada pemandu sekiranya penumpang sudah berada dalam kereta, sedang dalam perjalanan dan keadaan trafik jalan raya sesak.
Ingat, hanya ketika anda dalam perjalanan menghantar penumpang sahaja kerana pada masa itu sahaja faktor kiraan tambang akan dikira. Yang menjadi masalah apabila, keadaan trafik sangat sesak, dan anda berada dalam trafik tersebut sedangkan penumpang anda menunggu di lokasi yang sangat jauh.
Bukan sekadar melambatkan anda, malah penumpang juga kemungkinan besar akan membatalkan request mereka. Ketika itu, bunyi cancel di dada telefon pintar anda sangat menyakitkan telinga sedangkan anda berada di tengah trafik yang sangat sesak. Ini merugikan petrol dan masa anda.
4. Masalah penumpang yang tidak pandai menggunakan sistem aplikasi Uber.
Ini termasukalah penumpang yang pertama kali menggunakan Uber. Sering kali pemandu Uber berhadapan dengan masalah ini. Saban hari pertambahan pengguna Uber dan pada setiap hari itulah akan ada sahaja penumpang yang tersilap meletakkan lokasi dan destinasi mereka.
Ini menyebabkan, pemandu Uber tersalah alamat. Anda terpaksa membuat panggilan, dan ada kalanya penumpang yang membuat panggilan dengan nada marah kerana kita lambat? Ini menyakitkan hati kepada pemandu Uber. Tenang, sabar, anda sedang mencari rezeki.
Baca: Dipaksa Jadi Suruhan Samseng Semasa Bawa Uber, Ini Pengalaman Cemas Aku
5. Jauh anda pandu kereta untuk pickup penumpang, akhirnya destinasi mereka hanya seperti sebelah rumah boleh jalan kaki.
Tambang murah, dan ada kalanya RM 00.00 tetapi pemandu Uber telah membakar bahan api lebih daripada pendapatan trip tersebut. Ini paling lucu dalam geram. Tapi apakan daya, Uber dalam sistemnya, tidak membenarkan cancel request sekiranya sayangkan rating.
Pernah sekali saya mendapat request daripada pelajar UiTM KK, sedangkan masa itu saya berada di 1Borneo, jauh saya memandu dan masuk kampus tersebut dengan melalui pak guard yang suka menahan orang luar (untuk makluman, UiTM KK mengharamkan Uber masuk kampus mereka), akhirnya saya mendapat 6 orang adik manis dari Dewan Al-Bukhari meminta hantar ke Kolej Mabul mereka.
Malang bagi pemandu Uber, kerana dalam aplikasi tidak menunjukkan destinasi melainkan setelah pick-up penumpang. Itupun sekiranya penumpang meletakkan destinasi. KAH!
6. Dirompak? Setakat ini pengalaman saya belum pernah dirompak oleh penumpang.
Penumpang yang paling nakal pun mak nyah yang suka mengusik. Berhati-hati buat abam Uber yang hensem. Spesis ini akan ditemui pada waktu 12:00 malam hingga 5:00 pagi. Kes-kes rompak hanya berlaku beberapa kali di luar negara yang melibatkan Uber. Sebaiknya anda memasang kamera perakam di dalam kereta sebagai bukti keselamatan.
7. Kos bahan api petrol semakin mahal dan ramai pemandu Uber telah berhenti.
Untuk makluman, di Sabah sahaja lebih daripada 5000 pemandu telah berdaftar dengan Uber tetapi hanya sekitar 500 sahaja yang aktif. Selain kerana menjadikan Uber sebagai sampingan, namun ramai juga yang betul-betul berhenti kerana kos maintenance kereta semakin mahal.
Petrol, tayar, minyak enjin, brek, dak eksesori seperti pewangi dan kos mencuci kereta yang semakin mahal. Keadaan ini menyempitkan pemandu Uber sepenuh masa. Menurut pengalaman, kereta Uber yang sedang bergerak di atas jalan selalunya laris request penumpang.
Pada kebiasaanya, sukar mendapatkan request penumpang sekiranya anda parking atau tidak bergerak. Jangan lupas, walaupun sistem Uber adalah random namun tangan-tangan manusia juga yang mengatur sistem tersebut.
Oleh itu, Uber seolah-olah memaksa anda agar sentiasa bergerak di atas jalan sambil menunggu permintaan penumpang melalui aplikasi telefon. Nampaknya semakin rumit masalah yang dihadapi pemandu Uber.
8. Harapkan cash, rupanya debit.
Uber menyediakan dua pilihan pembayaran tambang untuk pengguna. Sama ada bayar secara tunai, atau debit akaun. Ini bukanlah masalah yang rumit tetapi kerana keperluan. Sebagai pengetahuan, Uber akan bank in pendapatan anda ke akaun yang didaftarkan pada setiap hari Rabu.
Ertinya anda akan collect tambang daripada penumpang yang membayar secara debit akaun sekali dalam seminggu. Biasanya penumpang elit dan pelancong yang suka membayar dengan cara debit akaun.
Bayangkan setiap hari anda memerlukan wang untuk isi tangki petrol, makan, dan keperluan kereta. Ini juga menjadi masalah yang dihadapi pemandu Uber meskipun tidak terlalu besar. Oleh itu, sentiasalah menyimpan untuk persediaan segala kemungkinan.
Begitulah sebahagian pengalaman saya ketika menjadi pemandu Uber. Namun tidak semua situasi di atas dihadapi selamanya. Banyak juga perkara positif yang dilalui setiap hari.
Anda mampu meningkatkan kafasihan bahasa Inggeris, menambah ramai kawan, saling berkenalan di antara ramai pelancong luar negara, belajar bahasa-bahasa baru daripada orang luar, malah yang paling menarik sekali anda berjaya memperkenalkan kehebatan Sabah kepada mereka.
Kalau lebih bijak, jadilah ejen homestay, pelancongan, kereta sewa, dan pelbagai lagi perkhidmatan sambil mengambil kesempatan menambahkan pendapatan.
Masalah yang dihadapi pemandu Uber tidak akan habis dan selesai. Itulah lumrah kehidupan mencari rezeki. Menjadi pemandu Uberi tidak boleh sekadar menumpukan keuntungan tambang semasa. Lakukan kerja dengan ikhlas dan profesional.
Ingat, wang daripada pendapatan Uber itu mesti halal dan ia akan digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan anak-anak.
Daripada perkongsian di atas, adakah anda bersedia menjadi pemandu Uber? Adakah anda bersedia dengan masalah yang dihadapi pemandu Uber nanti?
Baca lagi: Mahu Menggunakan Servis Uber? Tempah Sahaja Terus Menerusi Google Maps