Dapur adalah ruangan paling sibuk dalam rumah setiap hari. Memasak, mengemas, menyimpan adalah di antara rutin harian yang kita lakukan di dalam dapur. Tidak dapat tidak, setiap hari pasti ada bahan buangan yang terhasil daripada dapur.
Sampah-sampah dapur terdiri daripada bahan-bahan boleh diurai seperti lebihan makanan, kulit buah atau lebihan potongan sayuran, ataupun bahan-bahan lain seperti pek makanan, plastik, dan tin. Sampah-sampah ini kemudiannya akan dibawa ke tapak pelupusan sampah. Malangnya, tapak pelupusan sampah juga mempunyai risikonya yang tersendiri seperti masalah resapan air ke dalam sumber air bawah tanah, pembebasan gas metana ke udara serta pencemaran bau. Secara tidak disedari, kita turut menyumbang kepada masalah ini.
Untuk menjadi warganegara dan penduduk dunia yang lebih bertanggungjawab, kita boleh mula menjadi mesra alam di dapur kita sendiri. Ikuti 10 cara di bawah untuk menjadikan dapur kita lebih mesra alam:
1. Reduce, Reuse, Recycle
Pada tahun 2013, di Kuala Lumpur, sebanyak 3000 tan sampah dihasilkan setiap hari. Kita dapat mengurangkan jumlah ini dengan mengamalkan 3R – Reduce, Reuse, Recycle. Kurangkan penggunaan, guna semula dan kitar semula.
Asingkan sisa pepejal kepada sekurang-kurangnya 4 bahagian – plastik, kertas, botol dan tin, serta sampah-sampah lain.
Terdapat beberapa bekas atau beg pengasingan sisa pepejal menarik yang boleh didapati di Ikea. Rujuk sini.
Sisa pepejal ini kemudiannya boleh dijual kepada lori-lori yang memungut barang-barang kitar semula atau anda boleh membawanya ke tempat pengumpulan kitar semula.
2. Gunakan penapis air atau masak air, dan kurangkan minum air botol.
Terlalu banyak bahan sisa plastik mencemari alam, tidak kira sama ada di darat ataupun laut. Minum air kosong adalah bagus untuk kesihatan, namun jadikan amalan meminum air yang ditapis atau dimasak berbanding air minuman berbotol. Bawa air yang disediakan sendiri apabila keluar, ini akan mengelakkan anda membeli air mineral atau air minuman berbotol apabila dahaga.
BACA: Kini Bill Gates Telah Pun Minum Air Dari Hasil Buangan Manusia Dengan Penuh Yakin Sekali
3. Perlahan-lahan gantikan bekas plastik anda.
Setiap kali bekas plastik anda hilang penutup, merekah, pecah atau kesan kotor melekat, gunakan kesempatan ini untuk menggantikannya dengan bekas simpanan kaca. Mangkuk kaca lutsinar dengan penutup atau kaserol adalah pengganti yang sempurna – ia cukup cantik untuk dihidangkan di atas meja makan, boleh digunakan untuk penyediaan makanan, boleh disimpan di dalam peti ais dan selamat digunakan di dalam microwave.
4. Kurangkan penggunaan tisu kertas
Sekiranya anda mendapati diri anda akan mencapai tisu kertas setiap kali air tumpah atau menitis, ini adalah masanya untuk berubah. Simpan stok kain lap dengan banyak, dan letakkannya di tempat-tempat strategik di seluruh dapur. Walaupun kadang-kala kita masih memerlukan tisu kertas, contohnya dalam situasi yang sangat comot, tetapi apabila anda berjaya menggunakan kain lap pada kebanyakan masa, ianya sudah cukup bagus sebagai langkah permulaan.
5. Beli dan buat secara pukal
Beli secara pukal, dan pastikan anda makan apa yang anda beli. Pembelian dalam bentuk pukal bermakna semakin kurang pembungkusan diperlukan, dan semakin kurang perjalanan ke kedai, bermakna lebih banyak penjimatan. Sebagai contoh, membeli jus buah-buahan 250 ml akan mengambil lebih banyak pembungkusan berbanding air 1 liter (sudah tentu, memerah jus buah sendiri adalah lebih baik). Membeli kain lap yang digunakan untuk mengelap kereta secara pukal juga adalah lebih ekonomi berbanding membeli kain lap untuk dapur. Kain lap kereta lebih tahan lasak dan murah, dan boleh digunakan di kedua-dua tempat – kereta dan dapur. Memasak secara pukal adalah cara yang lebih efisyen untuk perkakasan dan masa anda, makan hanya apa yang anda perlu pada hari itu, dan selebihnya boleh dibekukan. Buat senarai menu secara mingguan, dengan cara iniĀ anda dapat mengurangkan masa memasak dan membeli barang dapur, dan dapat menggunakan masa anda yang berharga untuk bersantai bersama keluarga.
6. Tukar kepada pencuci tanpa toksik
Kebanyakan masanya, bahan pencuci yang kuat tidak perlu digunakan untuk mencuci kekotoran yang berlaku di rumah setiap hari. Sekiranya kekotoran yang berlaku adalah kurang berbahaya berbanding bahan pencuci yang digunakan, ini jelas bermakna anda boleh mengurangkan penggunaan bahan pencuci berkenaan. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak kecil di rumah, adalah lebih selamat menggunakan bahan pencuci daripada bahan-bahan semulajadi seperti cuka dan soda penaik. Akan tetapi, ini tidak bermakna anda perlu membuang semua agen pencuci di rumah, cuma gunakan ia sekala sekala apabila anda membuat deep cleaning.
7. Mula membuat kompos
Setelah anda berjaya membuat 3R seperti dalam langkah 1, dan mengurangkan pembungkusan dalam langkah 5, anda boleh maju setapak lagi dengan mengurangkan sisa makanan yang dibuang ke tempat pelupusan sampah. Sampah seperti kulit buah, lebihan sayur, beg teh terpakai, daun, ranting dan sisa makanan boleh digunakan untuk membuat kompos anda sendiri. Kompos boleh dibuat dengan mudah dan bersih dengan menggunakan sistem seperti “Can O Worm” daripada syarikat Hijau Kembali atau KitcoBin daripada syarikat MG Ecotech. Atau anda boleh membuat sistem anda sendiri seperti dalam laman web The Happy Housewife. Kebaikannya, bukan sahaja anda mengurangkan bebanan yang akan ditanggung oleh tapak pelupusan sampah, tetapi juga, kompos ini dapat digunakan sebagai baja untuk tanaman anda yang lain.
8. Pilih alatan memasak tahan lama
Pilih alatan memasak dan kuali yang tahan lama. Ini bermakna, kurangkan pembelian kuali non-stick dengan lapisan Teflon. Walaupun masih terdapat perdebatan tentang kesan lapisan non-stick terhadap kesihatan manusia, apa yang pasti, kuali jenis ini mempunyai jangka hayat yang terhad. Kuali stainless steel atau cast iron adalah antara pilihan lain yang ada. Walaupun mahal, kuali cast iron dapat bertahan sehingga beberapa generasi. Pilih perkakas yang kukuh dan bukan yang murah, sebagai contoh sudip kayu yang berkualiti rendah boleh mereput, dan sudip plastik berkualiti rendah akan cair apabila ditinggalkan di dapur terlalu lama. Beli pisau berkualiti tinggi yang boleh diasah sendiri dengan tangan, serta gunakan kain pengelap dan bukannya tisu kertas.
Memasak memang menyeronokkan, tetapi fikir dua kali sebelum anda membeli gajet memasak yang mungkin akan digunakan hanya sekali. Tanya pendapat kawan-kawan, dan pinjam dahulu sekiranya boleh, sebelum membuat keputusan. Membeli alatan memasak yang hanya digunakan sekali, bukan setakat membazir, malah menjadi penyumbang kepada kerosakan alam.
9. Pilih barangan elektrik jimat tenaga
Apabila anda membeli barangan elektrik baru seperti peti sejuk, ketuhar dan penunu, cari model dengan penarafan Energy Star. Alatan elektrik yang ringkas sudah memadai – anda tidak perlukan sambungan internet kepada ketuhar anda. Anda juga tidak perlukan ekzos ketuhar, yang lazimnya tidaak direka dengan baik dan tidak berkesan. Apabila anda membeli peti sejuk baru – think small. Banyak makanan akan tahan lebih lama di luar. Sebagai contoh, buah-buahan akan lebih cepat busuk di dalam peti sejuk kerana gas etilena yang dibebaskan buah-buahan itu ketika ia sedang masak akan terperangkap di dalam peti sejuk. Pembelian peti ais yang lebih kecil akan menjimatkan lebih banyak tenaga dan makanan anda!