Dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, perubahan sistem cukai pendapatan individu telah memberi kelegaan kepada ramai rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40.
Pelbagai pelepasan cukai baharu telah diperkenalkan, dan beberapa yang sedia ada diperluas untuk membantu rakyat.
Berikut adalah 9 senarai pelepasan cukai individu utama dalam Belanjawan 2025 yang perlu anda ketahui:
1. Pembelian Pengecas Kenderaan Elektrik & Mesin Kompos
Pelepasan cukai sebanyak RM2,500 untuk pembelian pengecas kenderaan elektrik kekal, tetapi kini turut meliputi pembelian mesin kompos sisa makanan untuk kegunaan isi rumah. Tempoh pelepasan cukai ini dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027.
2. Insurans Pendidikan & Kesihatan
Pelepasan cukai bagi bayaran premium insurans pendidikan dan insurans perubatan dinaikkan kepada RM4,000, manakala perbelanjaan perubatan kini mendapat pelepasan sehingga RM10,000.
Ini termasuk bayaran melalui insurans atau takaful dengan ciri pembayaran bersama (co-payment).
3. Caruman Skim Persaraan Swasta (PRS)
Pelepasan cukai sebanyak RM3,000 untuk caruman dalam Skim Persaraan Swasta (PRS) dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030.
Inisiatif ini bertujuan menggalakkan rakyat menyimpan untuk persaraan.
4. Pendidikan Anak-Anak
Simpanan SSPN: Had pelepasan cukai dinaikkan kepada RM8,000 dan dilanjutkan selama tiga tahun lagi.
Yuran Taska dan Tadika: Pelepasan cukai sebanyak RM3,000 diteruskan sehingga 2027.
5. Kesihatan
Kerajaan memperluaskan pelepasan cukai untuk perbelanjaan perubatan individu, termasuk:
Ujian pengesanan penyakit seperti kanser dan penyakit kritikal lain.
Pembelian peralatan kesihatan seperti alat pemantau tekanan darah dan gula darah.
Pembelian kit ujian penyakit seperti COVID-19 dan kit ujian kanser.
6. Pemilikan Rumah Pertama
Golongan muda dan pasangan yang ingin membeli rumah pertama boleh menikmati pelepasan cukai faedah pinjaman perumahan seperti berikut:
i. RM7,000 untuk rumah berharga sehingga RM500,000.
ii. RM5,000 untuk rumah berharga antara RM500,000 hingga RM750,000.
Tempoh pelepasan cukai ini adalah selama tiga tahun berturut-turut untuk perjanjian jual beli bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
7. Rawatan Anak Autisme
Pelepasan cukai untuk rawatan anak-anak autisme dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM6,000 bagi memberi sokongan lebih besar kepada ibu bapa dalam menyediakan penjagaan terbaik untuk anak mereka.
8. Aktiviti Sukan & Penjagaan Warga Emas
Ibu Bapa dan Warga Emas: Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 kini meliputi kos vaksin untuk ibu bapa.
Aktiviti Sukan dan Peralatan Sukan: Pelepasan cukai sebanyak RM1,000 turut meliputi ibu bapa.
Penjagaan Warga Emas: Elaun penjagaan warga emas diberi pengecualian cukai sehingga RM3,000 setahun, termasuk untuk penjagaan anak dan datuk nenek.
9. Orang Kurang Upaya (OKU)
Individu OKU: Pelepasan cukai dinaikkan kepada RM7,000.
Pasangan OKU: Pelepasan cukai tambahan dinaikkan kepada RM6,000.
Anak OKU: Pelepasan cukai untuk anak OKU yang belum berkahwin dinaikkan kepada RM8,000.
Pelepasan cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 adalah satu langkah penting untuk mengurangkan beban cukai, meningkatkan daya beli rakyat, dan menyediakan sokongan kewangan kepada golongan memerlukan.