Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan dua individu, masing-masing berusia 37 dan 43 tahun, yang didapati memuat naik ciapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah di akaun X masing-masing.
Ciapan-ciapan tersebut mendakwa kononnya berlaku serangan Israel ke atas kediaman Perdana Menteri.
Siasatan dimulakan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, setelah menerima laporan polis mengenai perkara tersebut.
PDRM telah menahan dua individu yang merupakan pemilik akaun X bernama @ChongKahtze dan @iFactoReal.
“Akaun X @ChongKahtze memuat naik ciapan mengenai dakwaan Malaysia bakal diambil alih ekstremis sehingga mencetuskan revolusi.
“Manakala @iFactoReal memuat naik komen berkaitan serangan Israel ke atas kediaman Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kumar berkata, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes kedua pula disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Ringkasnya, mahkamah membenarkan permohonan reman ke atas dua suspek yang ditahan. Suspek pertama direman selama dua hari, manakala suspek kedua direman selama empat hari hingga hari Khamis.
PDRM menegaskan bahawa mereka tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang menyebarkan kenyataan berunsur hasutan dan ugutan jenayah.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba mengganggu keharmonian masyarakat di negara ini,” katanya.