Pekerja muda dalam lingkungan usia utama (antara 25 hingga 34 tahun) dan golongan wanita di Malaysia khususnya pekerja pengetahuan berkemahiran sederhana dilihat lebih berisiko untuk digantikan oleh kecerdasan buatan generatif (AI), menurut satu ringkasan dasar yang didedahkan baru-baru ini.

Mereka merangkumi sebahagian besar daripada 4.2 juta pekerja iaitu 28 peratus daripada tenaga kerja Malaysia yang ‘sangat terdedah’ kepada teknologi AI generatif, petik The Malay Mail.

Dengan tambahan 2.5 juta pekerja berada dalam kategori pendedahan sederhana-tinggi, laporan itu menyatakan bahawa AI generatif pada masa ini mampu menggantikan 40 peratus daripada tugasan yang dilakukan oleh hampir separuh tenaga kerja negara.

Ringkasan dasar bertajuk ‘Novel AI technologies and the future of work in Malaysia’ itu ditulis bersama oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dan Bank Dunia.

Walaupun pekerja muda berada pada risiko tertinggi untuk digantikan oleh AI, pekerja paling muda (antara 15 hingga 24 tahun) didapati kurang berkemungkinan mengalami nasib yang sama.

Perbezaan ini berpunca daripada pilihan pekerjaan mereka. Pekerja paling muda selalunya memilih kerja manual yang memerlukan sedikit atau tiada pengalaman langsung.

Sementara itu, wanita pula hampir dua kali ganda lebih berkemungkinan bekerja dalam bidang yang sangat terdedah kepada automasi oleh AI generatif, seperti pekerjaan dalam sektor perkhidmatan dan runcit, berbanding lelaki.

Jika trend semasa ini berterusan, laporan tersebut menyuarakan kebimbangan bahawa pekerja muda berisiko terperangkap dalam pekerjaan berkemahiran rendah.