Presiden PSG, Nasser Al Khelaifi menyatakan kebimbangannya tentang pendapatan kelab di Ligue 1 musim ini.
Beberapa minggu lalu, L’Equipe melaporkan bahawa, Ligue 1 musim ini hanya ada sekitar €80 juta pendapatan bersih untuk dibahagikan dengan pasukan Ligue 1 dan sebahagian kepada Ligue 2.
Dan jika PSG juara musim ini, kelab itu akan menerima kira kira €4.677 juta pendapatan daripada penyiaran. Angka yang lebih kecil daripada pendapatan kelab tercorot musim lalu dalam Ligue 1 yang menerima lebih €5 juta.
Sebagai perbandingan, setiap pasukan di EPl menerima sekitar €120 juta daripada hak penyiaran yang hasil utamanya adalah penyiaran daripada luar negara.
Nasser Al Khelaifi maklum akan usaha Ligue 1 cuba mewujudkan platform Ligue1+ di bawah LFP. Dipetik daripada GFFN, Nasser menjelaskan:
“Ianya rumit pada hari ini. Saya sendiri tak tahu berapa banyak pendapatan daripada hak siaran kebangsaan yang kami akan dapat. Tahun lalu, kami dah tahu berapa kami akan dapat, tapi musim ini, kami tak tahu langsung.
“Saya sangat bimbang tentang situasi kelab kelab di Ligue 1 masa ini. Projek kelab kelab ini sangat banyak bergantung kepada hak penyiaran tv.
“Saya sendiri tidak tahu bahawa mereka bakal melancarkam Ligue1+,” tegas Nasser Al Khelaifi.
“Namun saya berharap saluran ini akan berjalan lancar. Saya cuma nak tanya, berapa jumlah yang kami akan dapat? Namun mereka tidak berikan saya jawapan.
“Ini adalah pertama kalinya sejak 14 tahun saya berada di Ligue 1, dan saya tak tahu langsung jumlah yang kami akan dapat. Jelas sekali saya risau tentang kelab kelab lain yang tidak ada pendapatan sampingan yang besar, cuma bergantung kepada hak penyiaran tv.
“Ini akan menjadi sangat sangat sukar untuk mereka. Saya berikan peluang kepada LFP Media – bahagian subsiadiari komersial liga. Namun akhir sekali, saya tetap nak tengok berapa PSG akan dapat.
“Ini penting untuk saya tahu, sama ada terdapat rantaian lain dalam sistem, jadi sekarang ini saya nak tahu, berapa jumlah kelab kelab Perancis akan dapat.
“Saya tetap berharap saluran ini sukses, namun saya jangkakan ada perkara yang sangat samar di sini,” tuntasnya