Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Muhammad Azwan Sulaiman menyatakan gegaran gempa bumi dari negara jiran mampu memberi kesan kepada struktur bangunan tempatan.

Menurutnya struktur bangunan lama di Malaysia yang tidak direka untuk menahan gegaran walaupun berskala sederhana menjadi ancaman utama, petik Harian Metro.

Baca Juga:

“Jika berlaku gempa bumi melebihi magnitud 6.0, kesannya boleh jadi serius, terutamanya di kawasan bandar padat seperti Kuala Lumpur.

“Bangunan tinggi dan struktur lama antara paling berisiko dengan potensi mengalami retakan konkrit, kerosakan kemudahan asas seperti jambatan dan jalan bertingkat, gangguan utiliti serta risiko runtuhan setempat pada bangunan usang.

'Jika Gempa Bumi Magnitud 6, Bangunan Lama Di Malaysia Paling Terkesan' – Pakar
Sumber Gambar: Two hundred percent via Wikimedia

“Bangunan moden lebih selamat kerana dibina mengikut kod kejuruteraan terkini, namun kerosakan ringan hingga sederhana tetap boleh berlaku.

“Sejak dua dekad lalu, elemen reka bentuk seismik minimum telah diterapkan dalam projek besar atau bangunan tinggi di negara ini.

“Bagaimanapun, kebanyakan bangunan lama kekal terdedah disebabkan kualiti binaan tidak seragam dan kesedaran terhadap risiko gempa masih rendah,” jelasnya.

Tambah baik struktur bangunan lama di Malaysia
'Jika Gempa Bumi Magnitud 6, Bangunan Lama Di Malaysia Paling Terkesan' – Pakar
Sumber Gambar: Facebook Civil Engineering Discoveries

Menurutnya lagi, teknologi canggih seperti penebat asas (base isolator) masih belum digunakan di Malaysia secara meluas kerana kos tinggi dan risiko gempa dianggap rendah.

Bagi mengelakkan bangunan lama terkesan akibat gempa bumi, kerja-kerja menaik taraf (retrofitting) boleh dibuat supaya lebih tahan gempa dengan menambah dinding geser, mengukuhkan tiang dan rasuk menggunakan keluli atau FRP (Fiber Reinforced Polymer), serta pasang peredam gegaran.

“Namun, proses naik taraf itu melibatkan kos tinggi, gangguan operasi dan kekurangan kepakaran tempatan, menyebabkan hanya bangunan kritikal diberi keutamaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sumber