Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Harikrishna K.R. Nair menyatakan hospital di ibu kota itu bukan lagi hanya menyediakan perkhidmatan untuk pesakit berpendapatan rendah, sebaliknya kini semakin ramai golongan berpendapatan tinggi mendapatkan rawatan di fasiliti itu.

Menurut beliau, peningkatan jumlah pesakit daripada kumpulan T20 dan VIP mencerminkan keyakinan mereka terhadap kualiti penjagaan serta kepakaran perubatan hospital berkenaan, petik New Straits Times.

Baca Juga:

Namun, katanya, peningkatan jumlah pesakit berkemampuan tidak akan menjejaskan golongan berpendapatan rendah yang kekal menjadi keutamaan untuk rawatan.

HKL Kini Jadi Pilihan Golongan VIP, T20 Dapatkan Rawatan
Sumber Gambar: Hairul Anwar Ibrahim/NSTP

“Tidak kira status pesakit, sama ada Datuk Seri atau Tan Sri, mereka tidak menerima sebarang keistimewaan. Rawatan diberikan secara sama rata kepada semua,” katanya.

“Di HKL, bukan sahaja kumpulan B40, malah pesakit daripada kumpulan M40 juga datang ke sini kerana kepakaran yang kami ada.

“Kami mempunyai lebih daripada 400 pakar serta teknologi canggih, termasuk penggunaan robotik dan rawatan laser.”

“Kami tidak boleh menolak pesakit berdasarkan pendapatan mereka dan kami juga tidak pernah bertanya tentang kategori pendapatan mereka.

“Rawatan adalah sama. Jika anda datang untuk mendapatkan rawatan, walaupun anda seorang Tan Sri atau Datuk Seri, anda tetap perlu menunggu giliran sekiranya ada pesakit lain lebih awal.

“Kami tidak benarkan sesiapa potong barisan. Itulah nilai kemanusiaan,” katanya ketika lawatan ke Balai Berita baru-baru ini bagi sesi temu bual bersama Berita Harian.

Pada masa ini, HKL mempunyai 417 pakar perubatan, 896 pegawai perubatan, 446 penolong pegawai perubatan dan 3,817 jururawat.

Sebagai hospital terbesar di bawah Kementerian Kesihatan, HKL menerima sehingga dua juta pesakit setiap tahun dan mempunyai 2,300 katil merangkumi 100 wad.

Penggunaan insurans cecah maksimum

Dr Harikrishna berkata, ramai pesakit berada dan VIP di HKL merupakan pesakit yang dipindahkan dari pusat perubatan swasta setelah had perlindungan insurans mereka mencecah tahap maksimum.

Beliau berkata, trend ini telah berlaku sejak sedekad lalu, banyak didorong oleh peningkatan kos perubatan.

“Ada pesakit yang dirujuk kepada kami kerana pusat perubatan swasta tidak mempunyai kepakaran tertentu.

“Inilah realitinya. Pertama, perlindungan insurans mereka habis. Kedua, kos rawatan terlalu tinggi, jadi mereka berpindah ke HKL.

“Perkara ini tidak salah dari segi etika mahupun peraturan. Sebagai hospital kerajaan dan atas dasar kemanusiaan, kami merawat setiap pesakit.”

Beliau menegaskan bahawa HKL tidak menghadapi masalah menerima pesakit berkemampuan kerana ia mempunyai wad kelas pertama, kedua dan ketiga.

“Bagi golongan T20, jika mereka mahu membayar dan ada kekosongan, kami akan tempatkan mereka di wad kelas pertama. Itu bukan masalah,” katanya.

Beliau menjelaskan, pesakit M40 dan T20 kebanyakannya mendapatkan rawatan onkologi kerana HKL memiliki kepakaran serta fasiliti radiologi dan onkologi.

“Kami menggunakan teknologi robotik terkini di Jabatan Urologi dengan lima orang perunding. Hanya dua hospital di Malaysia mempunyai teknologi ini, iaitu HKL dan sebuah lagi di Johor,” katanya.

Perkhidmatan kesihatan awam Malaysia antara terbaik dunia

Beliau menegaskan bahawa perkhidmatan kesihatan awam di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia kerana pesakit boleh mendapatkan bekalan ubat sehingga dua bulan bernilai RM2,000 hanya dengan bayaran RM1.

Pesakit hanya perlu membayar RM5 untuk berjumpa pakar, berbanding ratusan ringgit di fasiliti kesihatan swasta, katanya.

“Kalau kita lihat di negara lain, tiada yang menawarkan perkhidmatan kesihatan pada harga RM1, bahkan di Asia Tenggara sekalipun.

“Dengan RM1, pesakit boleh mendapatkan ubat bernilai antara RM500 hingga RM2,000, dengan kualiti yang sama seperti ditawarkan di fasiliti swasta.

“Malah ada ubat yang kami sediakan lebih baik, sama ada generik atau original. Walaupun pesakit mungkin perlu menunggu lebih lama, mereka tetap pulang dengan ubat berkualiti tinggi.”

Dr Harikrishna berkata, tidak timbul isu pembaziran ubat di HKL kerana pesakit diberikan bekalan sehingga dua bulan.

Beliau menjelaskan, langkah ini penting khususnya bagi pesakit dengan penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi.

“Kami beri bekalan lebih lama kerana ada pesakit yang perlu mengambil lima hingga 10 biji ubat setiap hari.

“Ini memudahkan mereka supaya tidak perlu kerap datang semula ke hospital.”

Mengenai perkhidmatan pakar, Dr Harikrishna berkata kos konsultasi boleh mencecah ribuan ringgit, namun HKL tidak mengenakan caj konsultasi.

“Kami juga tidak mengenakan bayaran untuk penggunaan dewan bedah.”

Katanya, Kompleks Pakar dan Pusat Rawatan Harian HKL menerima kira-kira 2,000 pesakit setiap hari.

Hospital itu turut menetapkan sasaran untuk memastikan pesakit berjumpa doktor dalam tempoh 90 minit selepas ketibaan.

“Ada pesakit kata mereka menunggu lebih lama kerana perlu mendapatkan beberapa perkhidmatan, dan setiap satu ada masa menunggu tersendiri,” katanya.