Mengapa perbelanjaan lebih RM130 juta mengalir keluar ke Thailand? Ini kerana lebih 100,000 rakyat Malaysia memilih untuk bercuti di sana sempena cuti Hari Malaysia.

Dr Barjoyai Bardai, seorang penganalisis ekonomi, menegaskan bahawa fenomena tersebut adalah bukti jelas bahawa melancong ke luar negara kini merupakan sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia.

Industri Pelancongan Domestik 'Terlepas' RM130 Juta Selepas Rakyat Malaysia Serbu Thailand Pada Hari Malaysia
Sumber Gambar: Berita Harian

“Musim cuti kali ini sahaja menyaksikan lebih 100,000 rakyat Malaysia dianggarkan keluar bercuti ke Thailand dengan purata perbelanjaan RM600 seorang, menjadikan jumlah keseluruhan jangkaan melebihi RM130 juta.

“Perbelanjaan ini tidak kecil kerana sepatutnya wang tersebut boleh membantu menggerakkan ekonomi domestik khususnya sektor pelancongan tempatan.

“Sebaliknya, ia memberi keuntungan besar kepada industri pelancongan luar negara, sedangkan perniagaan dalam negara terlepas peluang limpahan cuti umum,” katanya kepadda Harian Metro.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, perbelanjaan yang sama oleh rakyat Malaysia mampu menjana pendapatan baharu kepada pengusaha tempatan.

Namun, kelemahan sektor pelancongan domestik menyebabkan rakyat lebih cenderung untuk memilih destinasi di luar negara.

“Kalau jumlah RM130 juta ini dibelanjakan dalam negara, ratusan pengusaha Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan mendapat manfaat dan berdaya saing.

“Tapi kini ia mengalir keluar dalam masa hanya beberapa hari cuti, menggambarkan betapa besarnya kuasa perbelanjaan rakyat yang hilang,” katanya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata sektor pelancongan tempatan semakin lemah kerana tidak mendapat sokongan rakyat sendiri. Ini disebabkan oleh gaji pekerja yang masih rendah dan kegagalan banyak perusahaan kecil untuk menawarkan pengalaman percutian setanding dengan negara jiran.

“Kalau lima juta rakyat bercuti dalam negara sepanjang tahun, jumlah perbelanjaan boleh mencecah RM3 bilion dan itu cukup untuk menghidupkan sektor pelancongan kita,” katanya.

Menurut Barjoyai, trend aliran keluar wang ke luar negara semasa musim cuti umum akan berterusan jika tiada penambahbaikan segera dibuat terhadap kos dan pengalaman pelancongan domestik. Laporan media yang menunjukkan sempadan Malaysia-Thailand sesak dengan pelancong adalah bukti jelas bagi fenomena ini.