Akibat kenaikan premium insurans perubatan serta kos rawatan yang mahal di hospital swasta, pihak kerajaan dicadangkan mewujudkan insurans perubatan rahmah untuk kelompok berpendapatan tinggi.
Memetik Sinar Harian, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyatakan insurans itu boleh menjadi alternatif kepada rakyat berpendapatan tinggi dan sederhana.
Baca Juga:
- Premium Meningkat, Makin Ramai Pelanggan Batal Polisi Insurans Kesihatan

- Badan Pemikir Cadang Wujudkan Insurans Kesihatan Negara Guna Caruman KWSP, Ini Caranya

- Senang Macam Singapura, Ahli KWSP Bakal Dibenarkan Guna Akaun 2 Untuk Bayar Insurans Kesihatan

Beliau berpendapat menerusi ‘insurans Rahmah’ itu, ia dapat mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan. Di mana kelompok berpendapatan tinggi masih boleh terus mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital swasta.
“Saya cadangkan kita adakan satu insurans Rahmah bagi membantu rakyat yang ingin membeli insurans. Maksudnya dia dapat beli dengan harga berpatutan untuk perlindungan tertentu (pilihan).
“Usaha ini boleh menarik minat golongan T20 dan M40 membeli untuk ahli keluarga atau mana-mana syarikat yang ingin membeli polisi ini untuk pekerja mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, beliau mengakui tidak berpuas hati dengan perkhidmatan hospital kerajaan, terutama dalam aspek tempoh waktu menunggu yang panjang dan kesesakan.
Namun katanya, masalah itu memerlukan masa untuk diselesaikan mengambil kira pertambahan jumlah pesakit yang semakin ketara terutama bagi penyakit tidak berjangkit.
“Kalau ditanya sekarang ini memang saya tidak berpuas hati dengan tempoh menunggu yang panjang, tahap kesesakan yang teruk tetapi masalah ini tidak boleh selesai dalam tempoh satu atau dua bulan.
“Sekarang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan memberi tumpuan untuk menaik taraf sistem kesihatan negara melalui peruntukan besar dalam belanjawan negara setiap tahun,” katanya.