Penduduk tempatan dan pihak berkuasa di Koh Pha Ngan kini berdepan kebimbangan dan ketegangan berikutan peningkatan mendadak kehadiran pelancong Israel.
Keadaan ini memaksa mereka meneliti kesan ekonomi dan sosial yang dibawa oleh gelombang pelancong tersebut.
Gabenor Wilayah Surat Thani, Teeruth Supawiboonpol, telah mempengerusikan mesyuarat agensi kerajaan untuk membincangkan langkah-langkah mengatasi ketegangan yang meningkat, terutamanya yang melibatkan perniagaan warga asing dan pelancong jangka panjang.

Memetik laporan Sinar Harian, pengusaha tempatan dan pegawai wilayah berkongsi warga Israel dituduh membeli hartanah melalui proksi warga Thai, kemudian mendirikan perniagaan eksklusif (restoran, vila, syarikat pelancongan) yang hanya menyasarkan pelancong Israel. Keadaan ini telah mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak selesa dalam kalangan komuniti tempatan dan pelancong lain.
Pengerusi Persatuan Hotel dan Pelancongan Koh Pha Ngan, Narumol Maisopha, menyatakan bahawa tingkah laku segelintir pelancong dan pengusaha asing mula menjejaskan keharmonian komuniti di pulau itu.
“Sebagai wakil sektor swasta, kami akui keadaan ini memberi kesan negatif terhadap imej pelancongan. Kami telah mula memisahkan pihak-pihak yang bertelagah bagi mengekalkan pengalaman pelancongan yang berkualiti,” ujarnya.
Beliau mendesak kerajaan wilayah dan pusat bertindak proaktif segera bagi mengelakkan situasi daripada menjadi lebih buruk.
Data Jabatan Imigresen Thailand mendedahkan 4,030 warga Israel berada di Surat Thani, dengan 2,548 di Koh Pha Ngan dan 1,279 di Koh Samui. Daripada jumlah itu, 987 tinggal jangka panjang dan 349 dipercayai terlibat dalam perniagaan.
Perniagaan yang dikendalikan oleh warga Israel di pulau itu termasuk penyewaan vila, kafe, agensi pelancongan, malah pusat komuniti dan keagamaan seperti Pusat Chabad. Kini, pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan pemilikan tanah haram, pendaftaran perniagaan yang tidak sah, dan pelanggaran visa. Gabenor Teeruth mengesahkan siasatan akan mengambil masa untuk mengumpul bukti kukuh.
“Proses undang-undang perlu dijalankan dengan berhati-hati. Kami mahu memastikan tindakan yang diambil berpaksikan bukti yang jelas,” katanya.
Jabatan buruh dan imigresen juga telah diarahkan untuk menilai semula status visa pelancong jangka panjang bagi memastikan mereka mematuhi sepenuhnya peraturan Thailand.
Fenomena ini menunjukkan cabaran rumit yang dihadapi oleh industri pelancongan Thailand – keperluan untuk mengimbangi daya tarikan pelancong asing dengan kewajipan melindungi keseimbangan sosial dan ekonomi komuniti tempatan.