Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan ada beberapa kriteria sebagai garis panduan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah asrama tahun ini.
Keutamaan didahulukan kepada sekolah yang berisiko tinggi, petik Berita Harian.
Baca Juga:
- ‘MARA Buang Pelajar, KPM Sedia Terima & Beri Peluang Lagi’ – Menteri Pendidikan

- ‘KPM Mansuh Peperiksaan Untuk Bantu Kurangkan Tekanan Murid’ – Menteri Pendidikan

- Menteri Pendidikan Jelaskan Mengapa Sekolah Masih Dibuka Walaupun Kes COVID-19 Meningkat

Antara kriteria lain adalah berdasarkan kepada rekod kes buli bagi tempoh dua tahun terkini, kepadatan penghuni atau enrolmen murid, perlindungan sedia ada (sama ada ketiadaan CCTV atau liputan kamera yang tidak mencukupi) serta kesiapsiagaan infrastruktur elektrik dan rangkaian.
Tambah beliau, KPM juga akan mendapatkan pengesahan semakan tapak berserta khidmat nasihat teknikal bagi penempatan kamera daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
“Panduan ini digariskan bagi memastikan pelaksanaan pemasangan CCTV mematuhi prinsip perlindungan data peribadi serta privasi murid selaras dengan kehendak undang-undang dan dasar KPM.
“Pelaksanaan pemasangan CCTV di asrama yang lain akan dilaksanakan secara berfasa tertakluk kepada peruntukan kewangan serta inisiatif belanjawan tahun 2026.
“KPM menegaskan bahawa pemasangan CCTV secara berfasa ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memastikan kesejahteraan murid,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Terdahulu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan kementeriannya bagi tujan pemasangan CCTV di 200 asrama di sekolah bawah kendaliannya bermula 13 Oktober lalu, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.