Pencuri telah melarikan barang kemas yang ‘tak ternilai harganya’ dari Muzium Louvre di Paris dalam serbuan berani selama tujuh minit yang berlaku sejurus muzium yang paling banyak dilawati di dunia itu dibuka pada hari Ahad.
Memetik dari beberapa sumber, usaha memburu sedang dijalankan bagi mengesan sekumpulan pencuri yang telah melakukan rompakan di siang hari di Muzium Louvre Paris dan melarikan barang kemas yang disifatkan sebagai tidak ternilai harganya.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nuñez, berkata ia hanya mengambil masa beberapa minit bagi suspek bertopeng itu untuk melakukan rompakan pada pagi Ahad, sejurus selepas muzium dibuka kepada pengunjung.
Bagaimana rompakan terjadi?

Rompakan berlaku di Galeria d’Apollon (Galeri Apollo) Muzium Louvre sekitar jam 09:30 pagi waktu tempatan, menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis.
Seramai empat orang terlibat dalam rompakan ini. Pendakwa raya Paris melaporkan bahawa pencuri menggunakan pemotong cakera berkuasa bateri untuk masuk ke bangunan. Setelah berada di dalam, dua daripada mereka telah mengancam pengawal muzium.

Kumpulan itu menggunakan tangga boleh laras yang dipasang pada kenderaan untuk mencapai tingkap yang berhampiran dengan Sungai Seine, sebelum mereka melarikan diri dan meninggalkan tangga tersebut di lokasi kejadian.
Mereka berjaya mendapatkan akses ke Galeria d’Apollon (Galeri Apollo), salah satu bilik paling banyak barang perhiasan bernilai di Louvre, dan melarikan artifak daripada Barang Kemas Diraja Perancis, yang berasal dari era Napoleon.
Dua kotak pameran keselamatan tinggi telah disasarkan, dan lapan daripada sembilan barangan yang dicuri masih belum ditemui. Dalam tempoh hanya tujuh minit semua selesai dilakukan pada waktu siang santai pagi Ahad itu.
Barang perhiasan apa yang dicuri?
Sembilan barangan yang dicuri dari galeri itu kesemuanya berasal dari zaman kerabat diraja Perancis abad ke-19 dan bertatahkan ribuan berlian serta batu permata berharga lain.
Antara barangan yang hilang ialah kerongsang yang pernah dimiliki oleh Maharani Eugénie, isteri Napoleon III, dan sepasang anting-anting zamrud.
Mahkota Maharani Eugénie pula ditemui berhampiran lokasi kejadian, dipercayai terjatuh akibat perompak yang tergesa-gesa melarikan diri.







Walaupun ada yang memberi anggaran kasar salah satu mutiara paling rare mencecah $60 juta (~RM253,560,000), ia sebenarnya lebih dari itu kerana mempunyai nilai warisan dan sejarah yang tiada gantinya.
“Melangkaui nilai pasaran, barangan tersebut mempunyai nilai warisan dan sejarah yang tidak dapat dianggarkan,” kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata bahawa “segala-galanya sedang dilakukan” untuk menangkap suspek.
“Kecurian yang dilakukan di Louvre adalah serangan ke atas warisan yang kita hargai kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah kita,” kata Macron di X, “Kami akan mendapatkan semula karya-karya itu, dan pelaku akan dihadapkan ke muka pengadilan.”
Adakah akan laku di dalam pasaran gelap?
Seorang pakar di dalam satu temu bual bersama sebuah media terkemuka mendedahkan ia tidak semudah yang disangka walaupun nilainya pasti mencecah berpuluh atau mungkin ratusan juta dollar memandangkan barang itu boleh dianggap barang panas.
Barang perhiasan ini sudah pasti tidak mempunyai sijil keaslian maka sukar mendapat permintaan dan semestinya akan diburu oleh pihak berkuasa.
Sesiapa yang berada di dalam pasaran gelap, sudah pasti tidak mahu diri mereka menjadi sasaran atau terjebak dengan pihak keselamatan.
Kemungkinan yang paling tinggi akan terjadi kepada barang-barang perhiasan itu adalah ia akan dicairkan sementara segala berlian atau permata akan dijual secara berasingan.
Terdapat spekulasi lain rompakan ini juga mungkin dilakukan sebab diupah oleh seseorang yang berpengaruh yang mahu memiliki barang perhiasan yang cukup bersejarah itu walaupun tahu risikonya sangat besar.