Dalam persiapan menuju Olimpik Paris 2024, penganjur berjanji akan membersihkan Sungai Seine yang dianggap jijik dan menjadikannya selamat untuk acara sukan air.

Projek besar-besaran bernilai $1.5 bilion itu bertujuan untuk membersihkan air sungai yang tercemar supaya selamat untuk berenang.

Bagaimanapun, tular gambar beberapa atlet yang muntah setelah berenang di sungai yang mengalir di tengah kota Paris itu.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai paras E Coli yang tinggi dalam air, acara triathlon tetap diteruskan.

Untuk pengetahuan anda, E Coli sering dikaitkan dengan bahan kotor seperti najis dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit termasuk cirit-birit, radang paru-paru, jangkitan saluran kencing, dan sepsis.

Atlet dari Belgium, Jolien Vermeylen, mendedahkan pengalamannya semasa berenang dalam acara triathlon wanita dunia, lapor UNILAD.

Vermeylen berkata beliau menemui satu benda yang menjijikan di dalam air sepanjang berenang 1500 meter di Sungai Seine.

Bercakap kepada saluran TV Flemish VTM, beliau berkata, “Semasa berenang di bawah jambatan, saya merasa dan melihat perkara yang tidak patut saya fikirkan.”

Setelah selesai perlumbaan, atlet tersebut berharap tidak jatuh sakit akibat berenang di sungai itu.

Vermeylen, yang menduduki tempat ke-24, berkata beliau telah menelan banyak air semasa berenang di sungai itu.

“Kami akan tahu esok sama ada saya sakit atau tidak. Rasanya bukan seperti Coca-Cola atau Sprite,” katanya.

Pada bulan Jun lalu, ujian mendapati paras E Coli sehingga sepuluh kali ganda dari paras yang diterima.

Walaupun terdapat usaha untuk memperbaiki kualiti air, penganjur berkata, “Walaupun terdapat peningkatan pada paras kualiti air dalam beberapa jam terakhir, bacaan di beberapa titik laluan berenang masih melebihi had yang boleh diterima.”

Vermeylen menegaskan bahawa Sungai Seine mempunyai sejarah pencemaran yang panjang.

“Sungai Seine telah kotor selama seratus tahun, jadi mereka tidak boleh mengatakan bahawa keselamatan atlet adalah keutamaan. Itu cakap kosong!” katanya dengan nada kesal.

Atlet tersebut juga mengambil langkah berjaga-jaga sebelum berenang.

“Saya mengambil probiotik, minum Yakult, saya tidak boleh buat lebih dari itu. Saya cuba untuk tidak minum air, tetapi gagal,” katanya.