Dalam sebuah rancangan parodi yang menggabungkan unsur jenaka dan satira di Amerika, The Daily Show tampil menyebut nama Malaysia ketika membincangkan persembahan negara-negara dalam Olimpik Paris 2024.

Rancangan TV yang disiarkan dalam program berita satira larut malam ini menampilkan pelawak Malaysia yang kini menjadi hos rancangan itu, Ronny Chieng, bersama Michael Kosta.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Di penghujung acara tersebut, Kosta mengangkat isu ‘kiraan akhir pingat’ untuk Olimpik Paris 2024.

Namun, daripada menunjukkan keseluruhan pengutan pingat, Kosta hanya menampilkan tiga negara—Amerika Syarikat (tempat pertama dengan 126 pingat), China (tempat kedua dengan 91 pingat), dan Singapura—negara yang kelihatan agak ganjil dalam senarai tersebut dengan hanya satu pingat.

Kosta kemudian memperlekehkan Chieng atas pencapaian satu-satunya pingat oleh Singapura, memandangkan Chieng membesar di negara tersebut.

Tidak berdiam diri, Chieng dengan cepat membalas dengan menunjukkan jadual kiraan pingat yang mengambil kira saiz populasi.

Dalam jadual itu, Grenada menduduki tempat pertama, manakala Amerika Syarikat jatuh ke kedudukan ke-59.

Selepas tersilap menyangka Grenada sebagai Kanada, Kosta kemudian beralih ke segmen jenaka yang dinamakan “Freeballin’ College Fund Quadrupler Bet of the Evening”.

Dalam segmen ini, penonton ditanya, “Negara manakah yang Ronny membesar di dalamnya akan memalukan diri mereka di Olimpik 2028?”

Dalam senarai pilihan negara yang kemungkinan besar akan memalukan diri di Olimpik 2028, Malaysia turut tersenarai dengan odds -250, di belakang Singapura (-150) dan Australia (-325).

Bagi mereka yang kurang memahami dengan sistem taruhan, angka negatif menandakan bahawa negara tersebut adalah pilihan utama untuk ‘gagal’.

Chieng kemudian menunjukkan muka muram sebelum segmen itu berakhir dengan jenaka dan beralih kepada topik lain.

Untuk penonton yang mungkin tidak biasa dengan gaya The Daily Show, perlu diingat bahawa ini hanyalah sebuah jenaka satira.