Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang dalam AFC Champions League Elite (ACLE) 2025/26 selepas menundukkan Shanghai Shenhua 3-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakarkan JDT ke atas wakil China dimana sebelum ini mereka menundukkan Chengdu Rongcheng 2-0.

Baca Juga:

Beraksi dihadapan puluhan ribu peminat setia, anak buah Xisco Munoz beraksi dengan cukup bertenaga dalam usaha merobek gawang pasukan pelawat.

Ia jelas dibuktikan dengan tiga percubaan dijelmakan hanya dalam tempoh lima minit awal permainan.

Namun, penjaga gol Shanghai Shenhua, Bao Yaxiong cemerlang dalam menafikan percubaan Ager Aketxe, Oscar Arribas yang kemudiannya singgah di tiang gol serta rembatan voli Jonathan Da Silva.

Jairo Da Silva hampir menceriakan kem JDT pada minit ke-22 tapi jaringannya dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

JDT terus memberikan tekanan dengan rembatan Jairo pada minit ke-39 dan percubaan Nancho Mendez terkena tiang gol.

Separuh Masa Kedua Lebih Klinikal Buat JDT

Kehampaan deretan peluang yang gagal disudahkan itu akhirnya ditebus Jonathan Christian Silva selepas pemain pertahanan itu berada di kedudukan baik untuk menolak masuk bola hasil hantaran lintang Arif Aiman Hanapi pada minit ke-48.

Shanghai Shenghua cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan berselang empat minit kemudian tetapi jaringan mereka dibatalkan selepas Luis Asue mengasari Andoni Zubiaurre dalam kawasan penalti.

Oscar Arribas melonjakkan kegembiraan buat penyokong JDT pada minit ke-63 selepas percubaan rendah dilakukannya selepas menerima umpanan Afiq Fazail gagal diselamatkan Yaxiong untuk melebarkan kedudukan.

Memasuki minit ke-71, Shanghai Shenhua mengurangkan defisit jaringan hasil sepakan penalti yang disudahkan pemain gantian, Saulo Mineiro.

Ketika Shanghai cuba bangkit, JDT menambah jaringan ketiga menerusi Jonathan Silva yang cukup berbisa dalam menyudahkan peluang terhidang setelah menerima ‘cutback’ daripada Arif Aiman untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-87.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga lagi mata berharga buat skuad Harimau Selatan.

Dengan kemenangan penting dilakarkan, JDT kini melonjak tinggi ke tangga kedua dengan tujuh mata, hanya ketinggalan dua mata dibelakang pendahulu, Vissel Kobe.