Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan pertama dalam kempen AFC Champions League Elite (ACLE) 2025/26 selepas berjaya menundukkan Chengdu Rongcheng 2-0 pada aksi yang berlangsung di Phoenix Mountain Sports Center, sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang lawan tidak mengganggu perancangan Xisco Munoz bagi merealisasikan impian meraih tiga mata penuh pada perlawanan ini.

Baca Juga:

Tiga Mata Penuh Buat JDT

Skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Oscar Arribas merobek gawang tuan rumah seawal minit kelima permainan.

Berpunca daripada larian solo ke dalam kawasan penalti Chengdu, Arribas kemudiannya melakukan percubaan rendah yang sekali gus gagal diselamatkan penjaga gol, Liu Dianzuo bagi meletakkan JDT dihadapan.

Walaupun Chengdu menguasai permainan, jentera serangan JDT bagaimanapun lebih banyak memberikan ancaman berbahaya ke kubu lawan.

Ia dibuktikan dengan rembatan dalam kawasan penalti yang diledakkan oleh Jairo da Silva dan Ager Aketxe Baruttia tetapi Dianzou cemerlang menafikan percubaan-percubaan tersebut.

Ketika skuad kendalian Seo Jung Won cuba untuk memberikan tekanan bagi mendapatkan jaringan penyamaan pada separuh masa kedua, Nacho Mendez melebarkan kedudukan ketika kasi memasuki minit ke-62.

Jaringan itu terhasil selepas percubaan voli Mendez dalam kawasan penalti Chengdu setelah menerima umpanan lintang cantik daripada Jonathan Da Silva melonjakkan kegembiraan buat kem JDT.

Kelebihan dua gol dimiliki itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan untuk membolehkan skuad gergasi tanah air itu melonjak ke tangga keempat dengan empat mata diraih selepas mengharungi tiga perlawanan.