Persatuan Pengeluar Durian (DMA), yang berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan pengeluar durian, telah secara rasmi memohon kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan agar buah durian itu diiktiraf sebagai buah kebangsaan Malaysia.
Memetik portal The Straits Times, DMA juga telah mencadangkan agar 7 Julai diisytiharkan sebagai Hari Durian Kebangsaan.
Baca Juga:
- Bau Durian Disangka Kebocoran Gas, Pusat Beli-Belah Di Jerman Jadi Kecoh

- Lebih 3,000 Pokok Durian Musang King, IOI Haram Di Pahang Ditebang

“Durian bukan sekadar buah biasa. Ia sebahagian daripada identiti negara kita.
“Setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, pasti mempunyai kisah tentang durian sama ada kenangan atau tradisi. Inilah satu-satunya perkara yang menyatukan kita semua,” kata Presiden DMA, Eric Chan.
Status petunjuk geografi (GI) bagi durian Musang King, yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), baru-baru ini telah dilanjutkan selama 10 tahun lagi hingga Mac 2034.
Langkah ini mengukuhkan kedudukannya sebagai produk kebangsaan yang dilindungi, sekali gus menghalang negara lain daripada menuntut atau menggunakan nama tersebut.
“Pembaharuan GI ini ibarat cop pasport untuk Musang King.
“Ia membuktikan bahawa durian ini benar-benar berasal dari Malaysia. Ia sesuatu yang boleh kita banggakan, dan menunjukkan bahawa para petani serta pengeluar kita telah berjaya membina jenama bertaraf global berasaskan akar tempatan,” kata Encik Chan.
Tambah beliau, industri ini menyumbang berjuta-juta ringgit kepada eksport pertanian Malaysia serta menyokong ribuan petani, pekebun kecil dan pengeluar.
Hari Durian pada kemuncak musim durian di Malaysia
Cadangan untuk Hari Durian Kebangsaan itu dijangka berlangsung serentak dengan kemuncak musim durian. Encik Chan membayangkan pelbagai acara seperti festival, lawatan ke ladang, pameran serta aktiviti yang meraikan bukan sahaja buah itu sendiri, tetapi juga insan di sebaliknya.
“Ia akan menjadi hari untuk semua daripada pekerja dusun hingga ke peminat durian — bagi meraikan keistimewaan durian kita. Dan sudah tentu, untuk menikmati keenakannya juga,” katanya.
Memetik laporan The Straits Times lagi, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Nor Sam Alwi, mengesahkan bahawa jabatan tersebut telah menerima permohonan rasmi daripada DMA, yang dikemukakan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 8 September lalu.
Beliau berkata, sebarang keputusan untuk menamakan sesuatu buah sebagai buah kebangsaan memerlukan kajian menyeluruh serta pertimbangan teliti oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Faktor seperti impak sosioekonomi, nilai eksport, warisan budaya, penerimaan masyarakat serta kepentingan buah tersebut terhadap industri pertanian negara akan diambil kira.
“Kementerian kini sedang meneliti perkara ini bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan sebarang keputusan dibuat dengan berhati-hati dan menyeluruh,” katanya kepada The Star.
Pada masa ini, beliau menjelaskan bahawa belum ada sebarang pengisytiharan rasmi kerajaan yang menetapkan durian sebagai buah kebangsaan, dan bulan Julai juga belum diumumkan secara rasmi sebagai Hari Durian Kebangsaan.
“Sekiranya cadangan ini diluluskan pada masa hadapan, sebarang pengumuman rasmi akan dibuat oleh kementerian selepas mendapat kelulusan kerajaan,” katanya.