Malaysia kini dilaporkan berpotensi merampas takhta Raja automotif di ASEAN selepas perkara ini hangat dibincangkan oleh pemain industri Indonesia.

Memetik Detik.com, Indonesia, yang selama ini gah memegang gelaran Raja Automotif ASEAN, kini ‘ketar-ketir’ kerana jualan kereta tempatan merosot teruk pada tahun 2025 sehingga dibayangi ancaman Malaysia yang nyaris-nyaris merampas takhta jualan kereta terbanyak di Asia Tenggara.

Bos Toyota Indonesia Mengaku 'Ketar-Ketir' Susulan Malaysia Berpotensi Rampas Gelaran Raja Automotif ASEAN
Sumber Gambar: Tribunnews

Wakil Presiden Direktur PT Toyota Motor Manufacturing Indonesia (TMMIN), Bob Azam, nampaknya sedang berada dalam mood ‘panik’ apabila beliau secara terbuka meluahkan kebimbangan terhadap masa depan industri automotif Indonesia.

Indonesia yang selama ini selesa memegang gelaran Raja Automotif ASEAN kini diancam.

Menurut Bob Azam, beliau sangat berharap jualan kereta di Indonesia untuk tahun ini kekal mencapai paras 800,000 unit.

Kenapa angka ini penting? Kerana, Bob Azam memberi amaran tegas bahawa “bahaya besar” menanti jika industri permotoran Indonesia tumbang dan dikalahkan oleh Malaysia.

Pengakuan deep dari bos besar Toyota ini muncul selepas laporan mendapati Malaysia kini nyaris-nyaris sahaja memintas jualan kereta Indonesia, sekali gus mengancam untuk merampas gelaran prestij Raja Automotif ASEAN yang mereka pegang. Makin lama makin panas persaingan serantau ini.

Bob Azam menyatakan, “Imej adalah sangat penting. Sekiranya kedudukan nombor satu di Asia Tenggara itu tidak lagi dipegang oleh Indonesia, kami bimbang ekosistem [industri automotif] akan beralih. Oleh itu, amat penting untuk kita mempertahankan reputasi kita sebagai peneraju nombor satu di ASEAN,” ujar Bob baru-baru ini.

Menurut Bob, Malaysia mampu mengekalkan jualan kenderaan mereka agar tidak mengalami kejatuhan mendadak kerana kerajaan memberikan sokongan melalui insentif. Malah, insentif yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada industri automotif telah berkuat kuasa sejak penularan pandemik COVID-19 lagi.

“Negara-negara lain pula melakukan pelbagai cara. Contohnya, Vietnam menurunkan Cukai Nilai Tambah (PPN) daripada 10 peratus kepada 8 peratus. Malaysia juga memberikan insentif untuk sektor automotif sejak era COVID. Sekarang ini, jika saya tidak silap, pembeli pertama akan menerima insentif daripada Malaysia. Jelas sekali, negara-negara lain sangat aktif dalam menawarkan insentif. Ini kerana dalam sektor automotif, kesan penggandanya (multiplier effect) adalah sangat besar,” kata Bob.

Bob turut menjelaskan secara lanjut mengenai impak positif sektor automotif. Antara manfaatnya adalah sebagai penyumbang pendapatan negara dan juga penyedia peluang pekerjaan.

Analisis Kemerosotan Jualan Automotif Indonesia Berbanding Malaysia

Laporan terkini oleh Gabungan Industri Kenderaan Bermotor Indonesia (Gaikindo) menunjukkan kemerosotan ketara dalam jualan kenderaan di Indonesia bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025. Jumlah jualan secara wholesales (pengedaran dari kilang ke pengedar) hanya mencatatkan 634,844 unit, iaitu penurunan sebanyak 10.6 peratus berbanding 711,064 unit pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Sementara itu, jualan retail (jualan dari pengedar kepada pengguna) pula merekodkan 660,659 unit, merosot 9.6 peratus berbanding 731,113 unit yang dicatatkan tahun lalu.

Kemerosotan jualan yang mendalam ini meletakkan kedudukan Indonesia sebagai ‘Raja Automotif ASEAN’ dalam ancaman serius. Hal ini diperkuatkan lagi dengan data yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA). MAA melaporkan bahawa Jumlah Isipadu Industri (Total Industry Volume – TIV), iaitu pendaftaran kenderaan baharu di Malaysia bagi tempoh yang sama (Januari-Oktober 2025), mencecah 655,328 unit.

Angka jualan kenderaan baharu di Malaysia yang mencapai 655,328 unit ini nyaris memintas jualan retail Indonesia yang merekodkan 660,659 unit. Perbezaan jualan hanya sekitar 5,331 unit sahaja. Perbandingan ini menunjukkan bahawa peratusan kemerosotan jualan di Indonesia (10.6 peratus) adalah jauh lebih tinggi berbanding kemerosotan yang dialami oleh Malaysia, iaitu hanya 2 peratus dalam tempoh yang sama. Keadaan ini jelas menggariskan cabaran yang perlu dihadapi oleh Indonesia dalam mempertahankan reputasinya sebagai peneraju pasaran automotif Asia Tenggara.