Dalam satu kenyataan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) yang menambah baik aliran trafik di kawasan tepi jalan serta menyediakan akses lebih lancar di terminal Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) telah bermula hari ini.

Menurutnya, kini dengan VAMS semua kenderaan yang menghantar atau mengambil penumpang untuk tempoh kurang 10 minit tidak dikenakan sebarang caj, petik Berita Harian.

Selepas tempoh 10 minit, berikut adalah caj penalti yang dikenakan kepada pengguna –

1. 10:01–15:00 minit = RM10

2.  15:01–20:00 = RM30

3. 20:01–25:00 = RM60

4. 25:01–30:00 = RM100

VAMS guna sistem LPR di KLIA

Sistem VAMS  menggunakan pembaca nombor pendaftaran automatik (License Plate Readers – LPR) untuk merekod masa masuk setiap kenderaan.

“Tempoh ihsan 10 minit disediakan bagi urusan menghantar atau mengambil penumpang dengan cepat. Skrin digital di lokasi pula akan memaparkan nombor pendaftaran kenderaan yang melebihi had 10 minit.

“Semasa keluar, sistem mengira tempoh keseluruhan kenderaan berada di kawasan itu secara automatik dan kenderaan yang melebihi had akan dikenakan penalti sehingga maksimum RM100.

“Pembayaran boleh dibuat menggunakan Touch ‘n Go, kad kredit atau MyDebit,” kata kenyataan itu.

Sumber