Iran telah mengumumkan bahawa mereka akan memboikot acara undian Piala Dunia 2026 di Washington, Amerika Syarikat pada 5 Disember nanti.
Hal ini kerana pihak Amerika Syarikat telah menolak permohonan visa beberapa ahli delegasinya.
Baca Juga:
- FIFA Akan Tentukan Status Iran Di Piala Dunia 2026, Mekanisme Undian Di Qatar Bakal Digunakan?

- Senarai Antara Nama Besar Yang Gagal Ke Piala Dunia 2026 (Bahagian 1)

- Status Iran Ke Piala Dunia 2026 Jadi Tanda Tanya

Namun, ia hanyalah boikot melibatkan majlis undian itu sahaja dan pada masa ini skuad kendalian Amir Ghalenoei tidak akan menarik diri daripada Piala Dunia itu sendiri.
Amerika Syarikat mempunyai sekatan visa yang ketat dan berpanjangan terhadap warganegara dari beberapa negara termasuk Iran, atas alasan politik dan keselamatan.
Perkembangan terkini itu disahkan Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan.
Iran Boikot Majlis Undian Piala Dunia 2026
Menurut sumber laporan Goal, Amerika Syarikat hanya meluluskan empat visa termasuk satu buat ketua jurulatih tetapi menolak permohonan Presiden FFIRI, Mehdi Taj untuk menghadiri upacara di Kennedy Center itu.
Mereka melihat keputusan itu sebagai tindakan politik yang bukan berkaitan sukan dan telah memaklumkan FIFA malah turut mendesak badan pengelola itu untuk campur tangan.
“Kami sedang menilai pilihan kami yang bergantung kepada masa dan keadaan. Kami kekal berhubung rapat dengan Kementerian Luar Iran dan pihak berkuasa lain dan akan membuat keputusan yang perlu pada masa yang sesuai.”
“Kedudukan semasa jawatankuasa eksekutif Persekutuan Bola Sepak Iran ialah tiada seorang pun akan menghadiri acara itu melainkan semua visa diluluskan.”
“Bagi kami, perkara ini telah dipolitikkan. Kami memaklumkan kepada Presiden FIFA, Encik Infantino bahawa mereka telah mengambil pendirian politik dan situasi ini sepenuhnya dipolitikkan.”
“Kami percaya FIFA harus mengambil pendirian terhadap tingkah laku sebegini,” ujar Mehdi Taj dalam kenyataan rasmi dikeluarkannya.