Piala Dunia 2026 akan berlangsung kira-kira tujuh bulan dari sekarang dengan 42 negara sudah pun mengesahkan tempat untuk beraksi di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada itu.
Empat pasukan daripada play-off UEFA dan dua pemenang dalam FIFA Play-Off Tournament akan melengkapkan senarai penuh tersebut pada Mac tahun hadapan.
Baca Juga:
- Panduan Lengkap ‘FIFA Play-Off Tournament’ Untuk Dua Slot Terakhir Ke Piala Dunia 2026

- Sneijder: Portugal Lebih Berpeluang Cerah Muncul Juara Piala Dunia 2026

- Pasukan Ini Masih Ada Harapan Ke Piala Dunia 2026 Walaupun Dah Tewas 10 Aksi Kelayakan

Pemain-pemain bintang seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Harry Kane, Lamine Yamal, Ousmane Dembele, Vinicius Junior dan Kylian Mbappe bakal memeriahkan kejohanan tersebut sekiranya tidak mengalami kecederaan serius.
Namun, terdapat perjuangan pemain bintang yang berakhir dengan kekecewaan susulan kegagalan mereka untuk membuat penampilan di edisi ke-23 itu.
Antara pemain-pemain yang dimaksudkan ialah:
Nama Besar Yang Gagal Ke Piala Dunia 2026
1) Bryan Mbeumo (Cameroon)
Bryan Mbeumo dilahirkan di tengah Perancis dan pernah mewakili Les Bleus di peringkat bawah 21 tahun tetapi pada 2022, beliau menukar kesetiaannya kepada Cameroon, yang merupakan tanah air bapanya.
Tiga tahun kemudian, mungkin sebahagian daripadanya menyesal dengan keputusan itu. Cameroon dimalukan apabila gagal meraih kelayakan automatik ke Piala Dunia 2026 selepas kalah kepada pasukan kecil, Cape Verde.
Lebih malang, Cameroon tewas pula kepada DR Congo dalam play-off CAF yang sekali gus menutup serapat-rapatnya peluang untuk ke Piala Dunia.
2) Dominik Szoboszlai (Hungary)
Kumpulan F adalah antara kumpulan kelayakan Eropah yang paling dramatik dimana dua pasukan teratas hanya ditentukan pada perlawanan terakhir.
Portugal membelasah Armenia 9-1 untuk layak secara automatik manakala Hungary hampir sahaja meraih tempat naib juara tetapi digagalkan oleh wira hat-trick Ireland, Troy Parrott.
Situasi dramatik yang menyebabkan Dominik Szoboszlai yang bertindak selaku kapten Hungary menangis teresak-esak mengenangkan kegagalan pasukannya.
3) Victor Osimhen (Nigeria)
Nigeria terlepas peluang untuk muncul di Piala Dunia buat dua edisi berturut-turut selepas mengalami kekalahan mengejut dalam play-off akhir Afrika kepada DR Congo.
Super Eagles dianggap pasukan pilihan untuk mara ke FIFA Play-Off Tournament selaku wakil CAF pada bulan Mac selepas menyingkirkan Gabon.
Namun, impian mereka musnah selepas perlawanan sengit yang akhirnya ditentukan melalui sepakan penalti.
Kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam masa sebenar permainan dan ancaman serangan Nigeria merosot selepas Osimhen dikeluarkan pada separuh masa kerana kecederaan.
Nasib jelas memihak kepada DR Congo dalam sepakan penalti selepas berjaya mencatatkan kemenangan 4-3 yang menghancurkan harapan Osimhen serta kem Nigeria.
4) Khvicha Kvaratskhelia (Georgia)
Georgia merupakan salah satu pasukan kejutan di Euro 2024 dengan Khvicha Kvaratskhelia menjadi tonggak utama di sebalik perjalanan mereka ke peringkat 16 terakhir.
Namun, penyerang sayap Paris Saint-Germain itu gagal untuk ke benua Amerika Utara susulan aksi hambar pasukannya.
Kvaratskhelia menjaringkan dua gol dalam kelayakan Piala Dunia termasuk dalam kemenangan 3-0 ke atas Bulgaria tetapi Georgia kalah dalam empat daripada lima perlawanan selebihnya.
Keadaan itu mengakibatkan Georgia hanya menamatkan pusinga kelayakan di tempat ketiga jauh di belakang Sepanyol dan Turkiye dalam Kumpulan E.
5) Benjamin Sesko (Slovenia)
Benjamin Sesko nyata sedang melalui fasa paling mencabar dalam kerjaya mudanya.
Penyerang berusia 22 tahun itu gagal menyesuaikan diri di Old Trafford selepas berhijrah dari RB Leipzig ke Manchester United pada musim panas dan tidak berjaya membina semula keyakinan sewaktu beraksi untuk pasukan kebangsaan Slovenia.
Sesko bermain penuh setiap minit dalam empat perlawanan kelayakan Piala Dunia pertama Slovenia tetapi gagal menjaringkan sebarang gol atau assist ketika pasukan hanya mengumpul tiga mata.
Beliau kemudian mengalami kecederaan lutut memaksa dirinya menonton dari tepi padang apabila Slovenia tewas 2-0 di laman sendiri kepada Kosovo tempoh hari sekaligus menamatkan harapan tipis mereka untuk melangkah ke kejohanan musim panas depan.
6) Dusan Vlahovic (Serbia)
Serbia gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat pertama kali sejak 2014 dan kegagalan ini pastinya lebih menyakitkan daripada biasa.
Berada dalam satu kumpulan bersama England dan Albania, Serbia gagal untuk sekurang-kurang berada di kedudukan kedua untuk beraksi dalam play-off.

Lebih perit untuk diperkatakan, Albania mara ke play-off buat pertama kali dalam sejarah negara tersebut.
Ia merupakan kempen mimpi ngeri bagi Serbia dan khususnya Dusan Vlahovicyang hanya menjaringkan dua gol dan langsung tidak menonjol terutamanya ketika menentang Albania.