Empat negara bagi zon Eropah sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas memenangi perlawanan akhir kelayakan zon tersebut, awal pagi tadi.
Seperti dilaporkan, Bosnia-Herzegovina bersama-sama Republik Czech, Sweden dan Turkiye berjaya mengatasi lawan masing-masing untuk turut serta beraksi di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Kemaraan yang sekali gus membuatkan Itali, Denmark, Poland dan Kosovo terpaksa berputih mata menangisi kekalahan tersebut.
Sehubungan dengan itu, beberapa nama besar terpaksa melupakan impian besar untuk beraksi di pentas tertinggi dunia itu sekali gus mengikuti jejak langkah Bryan Mbeumo, Dominik Szoboszlai, Victor Osimhen, Khvicha Kvaratskhelia, Benjamin Sesko dan Dusan Vlahic yang terlebih dahulu kecewa seperti artikel bahagian 1.
Mereka yang dimaksudkan ialah:
Nama Besar Gagal Ke Piala Dunia 2026
1) Gianluigi Donnarumma, Riccardo Calafiori, Sandro Tonali & Alessandro Bastoni (Itali)
Itali sebenarnya sudah diberikan laluan lebih mudah kerana Bosnia-Herzegovina menundukkan Wales pada aksi separuh akhir.
Namun, laluan yang disangkakan mudah itu berubah menjadi mimpi ngeri selepas Bastoni dilayangkan kad merah pada minit ke-41.
Kelebihan satu gol dimiliki berjaya dipadamkan Bosnia pada lewat permainan yang akhirnya sepakan penalti menjadi penentu kepada kegagalan mereka untuk ke Piala Dunia 2026.
Ia jelas merupakan mimpi ngeri buat Itali yang gagal ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

2) Robert Lewandowski & Piotr Zielinski (Poland)
Dua pemain terbaik pernah dimiliki Poland ini terpaksa melangkah keluar dari Strawberry Arena, Solna dengan penuh kekecewaan.
Selepas dua kali bangkit daripada ketinggalan, Poland tidak mampu untuk melakukannya sekali lagi bagi memadamkan jaringan kemenangan Viktor Gyokeres pada minit ke-88.
Dengan usia Lewandowski bakal menjengah 38 tahun pada 21 Ogos nanti, beliau mungkin tidak mampu menanti empat tahun lagi untuk beraksi dalam Piala Dunia.
3) Rasmus Hojlund, Christian Eriksen & Christian Norgaard (Denmark)
Denmark terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 1-3 menerusi penentuan sepakan penalti dimana Hojlund sendiri gagal menyempurnakan sepakan pertama.
4) Rodrygo Goes (Brazil)
Pemain sayap lincah ini terpaksa melupakan Piala Dunia 2026 selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan Meniscus pada Mac lalu dalam aksi LaLiga.