Dengan pertambahan pasukan dalam Piala Dunia daripada 32 kepada 48 pasukan pada edisi 2026, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah menyusun semula kaedah bagi proses kelayakan.

Kebanyakan slot akan diperoleh melalui kelayakan benua masing-masing manakala dua slot terakhir akan ditentukan melalui kejohanan play-off antara konfederasi yang melibatkan enam pasukan.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan Goal, secara rasmi ia dinamakan FIFA Play-Off Tournament. Kejohanan ini akan diadakan di Mexico bagi menguji stadium-stadium menjelang Piala Dunia musim panas tahun depan.

Perlawanan akan berlangsung dalam tempoh jendela antarabangsa dari 23 hingga 31 Mac 2026, kira-kira kurang daripada tiga bulan sebelum Piala Dunia bermula pada 11 Jun.

Daripada 46 pasukan yang layak terus melalui laluan konfederasi masing-masing, dua baki slot lagi diperuntukkan untuk ditentukan melalui kejohanan play-off.

Bagaimana FIFA Play-Off Tournament Berfungsi?

FIFA Play-Off Tournament akan melibatkan satu pasukan daripada setiap konfederasi kecuali UEFA yang mempunyai play-off sendiri, ditambah satu lagi pasukan daripada konfederasi tuan rumah (CONCACAF) memandangkan Piala Dunia 2026 akan dianjurkan bersama oleh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat bagi menjadikan jumlah keseluruhan kepada enam pasukan.

Dengan itu, CONCACAF akan mendapat dua slot dalam kejohanan play-off manakala AFC, CAF, CONMEBOL dan OFC masing-masing mendapat satu slot.

Berdasarkan prestasi mereka dalam kelayakan konfederasi dan kedudukan terkini dalam ranking dunia pasukan lelaki, enam pasukan ini akan disusun dalam kategori ‘seeded’ dan ‘unseeded’.

Dua pasukan tertinggi dalam ranking akan menjadi seeded manakala empat pasukan unseeded akan bertanding dalam separuh akhir satu perlawanan secara kalah mati.

Terdapat dua perlawanan akhir di mana pemenang daripada dua separuh akhir antara pasukan unseeded akan menentang dua pasukan seeded.

Pemenang akhir bagi perlawanan ini akan memenangi dua slot terakhir untuk Piala Dunia 2026.

Pasukan Mana Yang Layak Ke Play-Off?

New Caledonia menjadi wakil Oceania (OFC)  dalam FIFA Play-Off Tournament selepas tewas pada perlawanan akhir pusingan kelayakan ketiga zon tersebut kepada New Zealand yang layak secara automatik.

Slot bagi benua Asia (AFC) pula diisi Iraq yang berjaya menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi final pusingan kelayakan kelima.

Jamaica dan Suriname menjadi wakil CONCACAF, DR Congo bagi CAF manakala Bolivia pula dari CONMEBOL.

Play-off yang melibatkan enam pasukan akan dibahagikan kepada dua kelompok yang masing-masing mengandungi tiga pasukan termasuk satu pasukan seeded dalam setiap kelompok.

Pemenang daripada setiap kelompok akan layak ke Piala Dunia.

Separuh Akhir

Separuh Akhir 1: Unseeded A vs Unseeded B

Separuh Akhir 2: Unseeded C vs Unseeded D

Final

Final 1: Pemenang Separuh Akhir 1 vs Seeded Team 1

Final 2: Pemenang Separuh Akhir 2 vs Seeded Team 2

Peraturan Perlawanan

Semua perlawanan adalah single-leg knockout.

Jika keputusan seri selepas masa biasa, akan diadakan 30 minit tambahan di mana setiap pasukan dibenarkan melakukan penggantian keenam.

Jika masih seri selepas masa tambahan, pemenang ditentukan melalui penalty shoot-out.

Selain itu, pasukan yang menyertai peringkat awal atau kejohanan play-off dikehendaki menurunkan hanya satu pasukan senior kebangsaan, selaras dengan peraturan lain yang diluluskan oleh FIFA Council pada mesyuarat 23 Jun 2023.

Sumber