Pertarungan untuk menjadi salah satu daripada 48 negara yang bakal beraksi di Piala Dunia 2026 semakin menarik untuk disaksikan.

Setakat hari ini, sudah 34 negara mengesahkan kemaraan mereka ke saingan yang akan diadakan di Amerika Utara itu.

Baca Juga:

Eropah akan menjadi benua yang paling banyak wakil dalam kejohanan ini dengan UEFA dijamin 16 tempat.

Sementara itu, benua Afrika (CAF) mempunyai sembilan tempat, Asia (AFC) mempunyai lapan wakil, dan Amerika Selatan (CONMEBOL) serta Amerika Utara, Tengah dan Carribean (CONCACAF) masing-masing mempunyai enam wakil.

Bagi kali pertama, Oceania (OFC) mendapat tempat yang dijamin secara automatik yang berjaya diraih oleh New Zealand.

Dua tempat terakhir untuk Piala Dunia akan ditentukan melalui play-off antara konfederasi.

Enam pasukan akan bertanding dalam play-off pada Mac 2026, dengan cabutan undian dijadualkan pada 20 November di ibu pejabat FIFA di Zurich.

Masih Ada Peluang Buat Bolivia Ke Piala Dunia

Perebutan tempat yang semakin menarik untuk disaksikan itu juga masih memberikan ruang kepada Bolivia meskipun negara tersebut mengalami 10 kekalahan pada aksi kelayakan.

Di Amerika Selatan, kesemua 10 negara bertemu satu sama lain sebanyak dua kali dalam satu kumpulan besar dengan enam pasukan teratas layak ke Piala Dunia.

Argentina, Ecuador, Colombia, Uruguay, Brazil dan Paraguay berjaya menempah tempat tersebut.

Bolivia yang hanya mencatatkan enam kemenangan dan tewas 10 perlawanan akan mara ke play-off antara konfederasi.

Mereka akan disertai oleh DR Congo yang menewaskan Nigeria melalui sepakan penalti serta wakil OFC, New Caledonia.

Sebuah negara dari Asia (antara UAE atau Iraq) juga akan layak ke play-off bersama dua negara dari CONCACAF.

Bagi play-off itu sendiri, enam pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan kecil yang masing-masing mengandungi tiga pasukan.

Pemenang setiap kumpulan kecil akan layak ke Piala Dunia.

Kumpulan-kumpulan kecil itu akan disusun berdasarkan Ranking Dunia Lelaki FIFA, dengan pasukan ‘seeded’ terys mara ke perlawanan akhir untuk menghadapi pemenang daripada perlawanan antara pasukan yang ‘unseeded’.