Malaysia sudah menjadi salah satu destinasi wajib untuk para pelancong antarabangsa untuk melawat bangunan berkembar tertinggi dunia dan pelbagai tempat menarik lain.
Walaupun majoritinya yang pernah datang ke Malaysia sedia berkongsi mempunyai pengalaman yang bagus sehingga tidak mahu pulang, ada rupanya wujud individu yang mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan isu itu.
Seorang pelancong dari Rusia meluahkan kekecewaannya di platform Threads menerusi akaun @evgeniin43.
“Kuala Lumpur. Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Thailand dari segi jumlah pelancong. Tahun ini sahaja, jumlahnya sudah melebihi 25 juta orang. Namun, saya amat kurang jelas mengenai aktiviti yang boleh dilakukan di sini untuk tempoh melebihi dua atau tiga hari,” tulisnya.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan pun, kelihatan dia hanya mengunjungi kawasan Bandar Kuala Lumpur dan pusat membeli-belah sahaja yang mana pasti hanya sekadar dipenuhi dengan bangunan pencakar langit yang moden.

Hantarannya langsung menjadi perhatian netizen tempatan yang mana sebahagian memberikan saranan apa yang boleh dilakukan di Malaysia selain Kuala Lumpur.
“Malaysia ialah destinasi pelancongan yang popular, bukan disebabkan oleh bandar-bandarnya, tetapi disebabkan oleh tarikan semula jadinya. Anda boleh menikmati beberapa pantai yang indah atau hutan hujan di sana.
“Berbanding dengan Thailand, Malaysia adalah lebih santai dan sesuai untuk keluarga. Sekiranya anda menggemari tempat yang sibuk dan pesta, maka lebih mudah untuk mendapatkan perkara itu di Thailand,” ujar pengguna @arek11223.
“Saya berpindah ke Malaysia dari Amerika Syarikat setahun setengah yang lalu. Saya bersetuju bahawa Malaysia bukanlah pilihan utama untuk pelancong, tetapi ia merupakan tempat yang menakjubkan untuk didiami. Saya sangat sukakannya di sini,” tulis seorang influencer antarabangsa bernama Mark Guim.
“Malaysia mempunyai beberapa hutan hujan tertua di dunia, tapak menyelam yang utama, kepelbagaian biologi yang tidak dapat ditandingi oleh Thailand, banjaran gunung granit yang jauh lebih tinggi daripada banjaran di Thailand, serta budaya yang pelbagai. Di Malaysia, lakukan perkara-perkara yang tidak dapat anda peroleh di Thailand,” dipetik dari wan_saef.
“Kunjungi Sabah dan Sarawak (Borneo), pulau-pulau di pantai timur (Kelantan dan Terengganu), serta pantai-pantai di pantai barat seperti Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis. Terdapat begitu banyak yang boleh anda terokai.
“Untuk tarikan semula jadi, kita mempunyai Taman Negara di Pahang. Sekiranya anda hanya memberi tumpuan di Kuala Lumpur, ya, memang hanya terdapat bangunan pencakar langit,” kata pengguna @munira_missmun.
Selepas menerima sejumlah saranan bernas dari warga tempatan, lelaki itu langsung meluahkan hasratnya untuk melawat ke lokasi menarik seperti Sabah, Sarawak dan Pulau atau pantai di Kelantan, Terengganu pada lawatan berikutnya.
KL bukanlah satu-satunya lokasi menarik yang ada di Malaysia, jadi pelancong paling kurang perlu melakukan kajian untuk menerokai lokasi menarik yang tersedia di negara ini.