Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mungkin perlu mengharamkan Israel daripada bola sepak kompetitif selepas tekanan besar daripada pelbagai organisasi, dengan situasi ini dibentangkan dalam laporan baharu.
Walaupun berdepan tentangan hebat daripada pelbagai negara, Israel terus menyertai perlawanan bola sepak antarabangsa kompetitif dan tidak diharamkan daripada menyertai kelayakan Piala Dunia.
Baca Juga:
- Paul Pogba & Hakim Ziyech Sertai Desakan UEFA Gantung Negara Haram: “Jangan Sambut Rejim Yang Lakukan Genosid”

- Eric Cantona Kutuk FIFA Dan UEFA Kerana Benarkan Negara Haram Terus Beraksi

- Ini Pendirian UEFA Mengenai Desakan Gantung Israel
Mereka gagal layak ke kejohanan tersebut, menduduki tempat ketiga dalam kumpulan yang turut dianggotai Norway dan Itali, yang kedua-duanya sangat lantang mengenai penyertaan negara haram tersebut berikutan perang di Gaza.
Namun, tekanan untuk UEFA bertindak dan menggantung Israel semakin meningkat, sama seperti Rusia yang diharamkan selepas pencerobohan ke atas Ukraine.
UEFA Pantau Kempen Pro-Palestin
Laporan baharu daripada Sport Bible mendedahkan situasi terkini menunjukkan bahawa eksekutif UEFA telah mengadakan mesyuarat dengan penganjur kempen pro-Palestin utama yang dinamakan ‘The Game Over Israel campaign’.
Ia diterangkan di laman web mereka sebagai ‘gabungan orang biasa’ yang terdiri daripada penganjur, aktivis, pekerja kemanusiaan dan peminat bola sepak.”
Perbincangan telah dijalankan sebelum dan selepas gencatan senjata termasuk membincangkan “mekanisme di mana larangan mungkin dikuatkuasakan.”
Dalam satu mesyuarat, badan induk bola sepak Eropah itu meminta para aktivis itu untuk ‘mengumpul pandangan daripada pakar hak asasi manusia.’
Dilaporkan bahawa penggantungan Israel oleh UEFA melalui undian daripada jawatankuasa eksekutifnya pada masa ini tidak mungkin untuk dilakukan tetapi badan pengelola itu sedang memantau dengan rapat perkembangan dua cabaran undang-undang dimana salah satunya datang daripada Republik Ireland.
Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) telah mengundi dengan majoriti besar untuk mengemukakan usul bagi menggantung Israel daripada semua kejohanan di Eropah.
Cabaran itu, bersama dengan satu lagi di Switzerland, berpotensi memaksa UEFA untuk melaksanakan larangan mengikut undang-undang antarabangsa.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menyatakan beliau tidak bersetuju dengan pengharaman atlet tetapi juga berkata bahawa “apa yang berlaku kepada orang awam di sana secara peribadi menyakitkan, membunuh saya.”
Ceferin ‘secara peribadi menggesa’ paparan sepanduk di Super Cup yang berbunyi: “Hentikan membunuh kanak-kanak; Hentikan membunuh orang awam.” Dua kanak-kanak dari Gaza turut terlibat dalam menyerahkan pingat.