Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) seperti diketahui bakal mengubah format kejohanan paling berprestij yang menjadi rebutan kelab-kelab ternama iaitu Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bermula musim 2024/25.
Format kebiasaan lapan kumpulan yang mana masing-masing diisi empat pasukan sudah ditukar kepada liga tunggal yang mengandungi 36 pasukan.

Baca Juga:
- Rashford Sasar EPL Dan UCL Bersama United
- UCL 2023/24: Real Madrid Raja Eropah Yang Sebenar
- Ini Pendekatan Unai Emery Dalam Pacu Aston Villa Ke UCL
Setiap pasukan akan beraksi lapan perlawanan dengan empat aksi sebagai tuan rumah manakala baki empat lagi di tempat lawan.
Tetapi ia akan melibatkan pertemuan menentang lapan pasukan berbeza dan tiada lagi perlawanan di tempat sendiri dan tempat lawan berdepan tiga pasukan sama.
Untuk menentukan lawan-lawan tersebut, setiap pasukan akan terlebih dahulu dinilai dalam empat kumpulan undian (Seeding Pots).
Setiap pasukan akan diundi untuk bermain menentang dua lawan dari setiap kumpulan ini, dengan satu perlawanan di tempat sendiri dan satu lagi di tempat lawan.
Ini memberikan peluang kepada kelab untuk menguji kekuatan pasukan berdepan pelbagai lawan dan meningkatkan kemungkinan bagi peminat untuk melihat pasukan-pasukan terbaik bertemu lebih kerap dan lebih awal dalam pertandingan ini.
Ia juga secara tidak langsung akan menghasilkan perlawanan yang lebih kompetitif bagi setiap kelab secara keseluruhan.
Selepas peringkat kumpulan, semua pasukan akan diletakkan dalam satu jadual di mana lapan pasukan teratas secara automatik akan melayakkan diri ke pusingan 16.
Manakala, kelab yang berada di antara kedudukan kesembilan hingga ke-24 perlu melalui fasa play-off untuk merebut lapan tempat yang masih berbaki.
Selepas proses itu selesai, Liga Juara-Juara akan diteruskan seperti kebiasaan dimana melibatkan pusingan 16, suku akhir, dan separuh akhir yang dimainkan dalam dua perlawanan, sebelum perlawanan akhir yang sebenar.
Difahamkan selain UCL 2024/25, dua lagi kejohanan dibawah kendalian UEFA iaitu Europa League dan Conference League akan turut menikmati perubahan yang sama.
Europa League menyaksikan lapan perlawanan akan dilalui setiap pasukan manakala Conference League pula dengan enam perlawanan melibatkan 36 pasukan.