Seorang individu yang mencetuskan ancaman bom palsu melibatkan sebuah penerbangan domestik di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1) semalam telah ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa insiden tersebut pertama kali dilaporkan pada pukul 5.32 petang, iaitu tidak lama sebelum waktu berlepas penerbangan berkenaan, petik portal The Vibes.

Baca Juga:

Pasukan Keselamatan Penerbangan telah mengaktifkan protokol tindak balas yang ditetapkan, mengamankan kawasan terbabit dan menyelaras tindakan bersama pihak berkuasa berkaitan.

“Pasukan Keselamatan Penerbangan, bersama PDRM dan unit pemusnah bom, telah menyelesaikan penilaian terperinci di lokasi.

“Pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan kembali terkawal pada pukul 8.58 malam, mengesahkan bahawa situasi adalah selamat dan insiden tersebut merupakan hoaks,” menurut kenyataan itu.

MAHB memaklumkan bahawa semua penumpang berada dalam keadaan selamat sepanjang proses tersebut, dan penerbangan berkenaan berlepas semula dengan baki penumpang pada pukul 7.19 malam.

“Operasi lapangan terbang berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” menurut kenyataan itu, sambil mengingatkan semua pengembara bahawa membuat ancaman palsu merupakan satu kesalahan serius di bawah undang-undang Malaysia.

Sumber