Mahkamah di Beijing telah mengeluarkan perintah kepada syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) untuk membayar pampasan kepada waris lapan penumpang pesawat MH370.

Dalam satu kenyataan Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang, sebanyak 47 lagi saman sudah ditarik balik selepas keluarga terbabit mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan MAS dan anak syarikat antarabangsa syarikat itu, Malaysia Airlines International.

Baca Juga:

Menurut mahkamah, pampasan yang diputuskan pada Jumaat lalu merangkumi kos pengebumian, tekanan emosi dan kerugian lain, dengan setiap keluarga bakal menerima lebih 2.9 juta yuan (RM1.69 juta), petik Buletin TV3.

Daripada 78 kes asal yang difailkan keluarga mangsa selepas insiden berkenaan, mahkamah di Beijing memaklumkan bahawa 23 kes masih belum diputuskan lagi.

Terdapat kemungkinan kes yang belum diputuskan disebabkan keluarga penumpang belum memohon pengisytiharan kematian atau belum melengkapkan proses pengisytiharan berkenaan.

Lapan penumpang yang keluarganya diberikan pampasan oleh mahkamah pula sudah mengisytiharkan mereka meninggal dunia secara sah.

Sumber