Lebih 10 tahun lalu, dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang tanpa jejak selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014, namun seorang saintis mendakwa tahu dimana lokasi persembunyian pesawat tersebut.

Pesawat tersebut membawa 239 orang, termasuk 227 penumpang dan 12 anak kapal.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Walaupun serpihan yang dipercayai milik pesawat MH370 pernah ditemui, bangkai pesawat tersebut masih belum dijumpai hingga kini.

Namun, seorang saintis di Institut Pengajian Marin dan Antartika, Universiti Tasmania, Vincent Lyne, baru-baru ini mendakwa bahawa beliau telah menemui ‘tempat persembunyian’  pesawat tersebut, lapor news.com.au.

Lyne yang telah menghasilkan sebuah kertas penyelidikan bertajuk “Final Two Communications from MH370 Suggests Controlled Eastward Descent” telah menyatakan teorinya tentang apa yang berlaku kepada MH370 dan di mana ia mungkin berada.

Kertas penyelidikan ini telah diterima untuk diterbitkan dalam Journal of Navigation, dan Lyne menyatakan bahawa penemuannya menunjukkan pesawat tersebut telah sengaja diterbangkan ke dalam lautan.

Menurutnya, bukti-bukti menunjukkan bahawa MH370 tidak terhempas kerana kehabisan bahan bakar tetapi sebaliknya, ianya mendarat di lautan.

“Dalam kertas ini, naratif tentang kehilangan MH370 berubah daripada ‘tiada siapa yang salah’ kepada seorang juruterbang yang bertindak dengan sengaja untuk menyembunyikan pesawat ini di Lautan Hindi Selatan. Malah, ia hampir berjaya sekiranya sayap kanan MH370 tidak melanggar ombak,” katanya.

Menurut Lyne, kerosakan pada sayap, flap, dan flaperon MH370 menunjukkan usaha pendaratan terkawal yang dilakukan oleh juruterbang, serupa dengan pendaratan cemas yang dilakukan oleh Kapten Chesley “Sully” Sullenberger di Sungai Hudson pada tahun 2009.

Lyne turut menyokong teori ini dengan kajian dari bekas Ketua Penyiasat Kemalangan Udara Kanada, Larry Vance, yang berpendapat bahawa MH370 mempunyai bahan bakar dan enjin yang masih berfungsi ketika ia melakukan pendaratan.

Lyne percaya bahawa lokasi sebenar MH370 adalah di mana garis bujur Lapangan Terbang Penang bersilang dengan laluan simulator rumah juruterbang yang ditemui oleh FBI tetapi diabaikan sebagai ‘tidak relevan’.

Lokasi tersebut dikatakan berada di dalam sebuah lubang sedalam 6000 meter di hujung timur Broken Ridge, yang merupakan kawasan lautan yang sangat berbahaya dan terkenal dengan spesies lautan dalam yang jarang ditemui.

“Lubang ini dikelilingi oleh tebing yang curam, dikelilingi oleh rabung besar dan lubang-lubang dalam lain, dan dipenuhi dengan sedimen halus — tempat persembunyian yang sempurna. Lokasi ini perlu disahkan dengan segera,” katanya.

Pencarian di kawasan ini, menurut Lyne, adalah keputusan pihak berkuasa dan syarikat pencarian.

Namun dari sudut sains, beliau yakin bahawa MH370 terletak di kawasan tersebut dan mengapa pencarian sebelum ini gagal menemukannya.