FA Mesir tidak gembira dengan berita bahawa bandar Seattle mahu menjadikan Piala Dunia yang dianjurkan di bandar tersebut sebagai Piala Dunia pelangi sempena bulan pelangi.

Selain itu, aksi antara Mesir dan Iran dalam peringkat kumpulan G juga dipilih sebagai aksi ‘Pride Match’ kerana ianya berlangsung pada 26 Jun, tarikh yang sama dengan keraian serta perarakan pelangi di bandar tersebut.

Agak ironi kerana Mesir dan Iran, kedua duanya negara yang mewartakan kesalahan hubungan sejenis sebagai jenayah di sisi perundangan negara mereka.

Iran antara negara yang mengenakan hukuman paling berat iaitu hukuman mati. Sementara di Mesir, hukumannya tidaklah sampai tahap tersebut, namun ianya tetap dianggap kesalahan sangat berat.

Seattle antara bandar paling kuat menyokong agenda pelangi. Mereka ada acara tahunan digelar Seattle Pride yang akan diadakan pada hari sama dengan hari perlawanan Mesir dan Iran.

2 hari sebelum Seattle Pride ada acara Stonewall Riots sempena memperingati ulangtahun tercetusnya gerakan menyokong kebebasan hubungan sesama jantina.

FA Mesir sudah mengajukan aduan kepada FIFA meminta perlawanan antara Mesir dan Iran tidak akan ada melibatkan kempen pelangi.

FA Mesir berkata: “FA Mesir sudah menjelaskan kepada FIFA pendirian kami. Dan FIFA harus komited memastikan suasana yang mengalu alukan dan menghormati semua penyokong.

“Ini untuk mengekalkan semangat bersatu dan keamanan, dan mengelakkan isu berkaitan sensitiviti agama antara penyokong kesemua pasukan. Terutama sekali di Mesi dan Iran, perkara tersebut adalah bercanggah dengan budaya dan agama.”

FA Mesir berharap FIFA mendengar keluhan mereka untuk memastikan bola sepak bebas daripada sebarang propaganda berbaur politik dan unsur lain selain sukan dan bola sepak.